Isnin, 7 Januari 2019 | 1:15am
Pemain Manchester City, Nicolas Otamendi (kiri) berebut bola debgan penyerang Rotherham, Michael Smith dalam aksi Piala FA di Stadium Etihad, England. - Foto AFP
Pemain Manchester City, Riyad Mahrez bersaing dengan pemain Rotherham, Zak Vyner dalam aksi di Stadium Etihad, England. - Foto Reuters

Manchester City ratah Rotherham

MANCHESTER: Manchester City mara ke pusingan keempat Piala FA selepas membelasah kelab Liga Kejuaraan, Rotherham 7-0 di Stadium Etihad.

Jaringan Raheem Sterling, Phil Foden dan gol sendiri Semi Ajayi meletakkan City tiga gol di depan sebaik babak pertama berakhir.

Pep Guardiola melakukan lapan pertukaran ke atas skuadnya yang menewaskan Liverpool Khamis lalu tetapi anak buahnya masih menampilkan kualiti dan pengalaman tinggi, dengan Kevin De Bruyne yang kembali cergas menunjukkan prestasi sebenarnya.

Sterling membuka jaringan pada minit ke-12 selepas bermain satu dua dengan De Bruyne dan Foden meledak gol kedua City pada minit ke-43. 


Pemain Rotherham, Semi Ajayi tertampan bola ke gawang sendiri. - Foto Reuters

Ajayi yang cuba memintas hantaran lintang Kyle Walker tertampan bola ke gawang sendiri dan Gabriel Jesus meledak gol keempat City hasil gerakan pantas Sterling selepas rehat.

Kemasukan Leroy Sane menambah derita Rotherham, dan Guardiola turut mengambil kesempatan untuk memberikan penampilan sulung buat pemain muda Belanda Philippe Sandler.

Riyad Mahrez menyertai senarai penjaring selepas bermain satu dua  Ilkay Gundogan dan Nicolas Otamendi menanduk masuk sepakan sudut untuk gol keenam.

Sane melengkapkan kemenangan City lima minit sebelum tamat permainan. - Agensi

1021 dibaca
Berita Harian X