Sabtu, 12 Januari 2019 | 9:43pm
PRESIDEN JDT, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim berkenan melancarkan jersi baharu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Dataran Bandaraya Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

Jersi baharu JDT berteknologi tinggi

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mendapat kepercayaan Nike Malaysia apabila syarikat gergasi sukan antarabangsa itu menaja juara Liga Super lima musim berturut-turut dengan nilai tajaan RM1.3 juta.

Pengurus Pemasaran Sukan Nike Malaysia dan Thailand, Ernest Rodrigues berkata, tajaan jersi dan kelengkapan barangan sukan Nike pada tahun ini agak istimewa terutama reka bentuk jersi lebih dinamik dan berkualiti.

Katanya, Nike turut mengeluarkan jersi yang akan digunakan di tempat lawan berwarna ungu dan ia cukup istimewa kerana diilhamkan daripada kenderaan jenis Ferrari milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Kami bangga untuk terus menaja JDT dan seperti kita tahu pasukan ini bukan sahaja akan bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) malah akan membuat penampilan pertama pada aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL).


JERSI baharu Johor Darul Ta'zim (JDT). - Foto Hairul Anuar Rahim

"Reka bentuk jersi berkenaan juga direka mengikut potongan badan pemain selain memberi keselesaan di bahagian bahu. Malah jersi itu lebih ringan dan mengikut falsafah JDT iaitu bergerak ke hadapan maka kami juga seiring dengan pasukan itu," kata Ernest.

Jersi berteknologi tinggi bukan sahaja akan dipakai skuad Harimau Selatan malah ia membabitkan Johor Darul Ta'zim II (JDT II), skuad Piala Presiden, skuad Piala Belia dan pemain Akademi JDT dan harga jersi pemain adalah RM549 manakala replika jersi untuk penyokong adalah RM185.

Presiden JDT, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim berkenan melancarkan jersi baharu yang akan dipakai skuad Harimau Selatan pada saingan Liga M dan ACL.

Lebih 1,000 penyokong JDT membanjiri Dataran Bandaraya Johor Bahru bagi melihat jersi baharu bagi musim 2019 secara dekat selain turut membeli replika jersi berkenaan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Mohd Khuzzan Abu Bakar, Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim dan Setiausaha Kehormat JDT, Kapten Fahmy Yahya.

4132 dibaca
Berita Harian X