Jumaat, 18 Januari 2019 | 7:11pm
Reaksi pengendali PKNS FC, K Rajagobal. -Foto Mohd Badlishah Mohd Ali
Timbalan Presiden PKNS FC, Mohd Zain Sarman (tiga kanan), Pengurus Pasukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid (kanan), Ketua Jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagopal (dua kiri), Setiausaha PKNS FC, Md Adi Harmizi Ariffin (kiri) pemain import baharu, Gabriel Guerra (tiga kiri) dan Chan Vatanaka ketika majlis memperkenalkan pemain import baharu di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya. - Foto Sairien Nafis

Guerra, Vathanaka tambah sengat PKNS FC

KELANA JAYA: Kemasukan dua pemain import baharu PKNS FC, Gabriel Guerra dan Chan Vathanaka diyakini mampu melonjakkan pasukan itu ke tahap yang lebih baik berbanding musim lalu.

 

Berbekalkan kualiti dan pengalaman dimiliki dua pemain terbabit, ketua jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagobal mengakui pemain berkaliber seperti itu amat diperlukan pasukan selepas menilai beberapa kelemahan pada musim terdahulu.

Jelas Rajagobal, beliau mengharapkan semua empat pemain PKNS FC termasum Guerra dan Vathanaka dapat memberikan perbezaan buat pasukan, sekali gus membantu kelab dan juga perkembangan pemain tempatan.

 

“Kita melihat kedua-dua pemain memiliki kualiti dan kepemimpinan seperti Guerra yang kembali beraksi bersama kita selepas menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini.

 

“Malah, dia juga mengenali senario bola sepak di negara ini dan juga PKNS FC. Mungkin dia mahu menyumbangkan sesuatu kepada pasukan ini.

 

“Vathanaka juga memiliki pengalaman sebagai pemain kebangsaan Kemboja dan bersama Pahang sebelum ini.

“Kedua dua pasukan ini sesuai dengan corak permainan kita dan saya gembira dengan kehadiran dua pemain ini,” katanya pada sidang media di Kompleks Sukan PKNS FC, Kelana Jaya, hari ini.

 

Kemasukan dua pemain import itu menyaksikan skuad Semut Merah itu kini memiliki empat pemain import selepas mengekalkan Romel Morales Ramirez dan menandatangani bekas penyerang MIFA, Kpah Sherman.

 

Mengulas lanjut mengenai semua empat import yang akan menjadi tunjang kepada jentera serangan PKNS FC musim ini, Rajagobal optimis mereka dapat membentuk gandingan yang mantap untuk merobek gawang lawan.

“Kemasukan mereka akan menambahbaik jentera serangan kita dan memberikan saya lebih banyak pilihan di bahagian serangan,” katanya.

 

361 dibaca
Berita Harian X