Isnin, 21 Januari 2019 | 8:32am
PEMAIN Barcelona, Lionel Messi diasak pemain Leganes, Nabil El Zhar pada aksi La Liga di Stadium Camp Nou, awal pagi tadi. - Foto AFP
PEMAIN Barcelona, Lionel Messi diasak pemain Leganes, Nabil El Zhar pada aksi La Liga di Stadium Camp Nou, awal pagi tadi. - Foto AFP

Messi masuk selamatkan Barca

BARCELONA: Ousmane Dembele memberikan sinar buat masa hadapan Barcelona tetapi kelab itu masih memerlukan Lionel Messi bagi menewaskan Leganes 3-1 awal pagi tadi sekali gus memastikan mereka mengungguli La Liga dengan jurang lima mata.

Messi diletakkan di bangku simpanan pada awal permainan oleh jurulatih, Ernesto Valverde dan selepas setengah sejam di Nou Camp, Dembele menjaringkan gol pembukaan menerusi persembahan individu mengagumkan.

Pemain berusia 21 tahun itu bagaimanapun mengalami kecederaan pada minit ke-69, tidak lama selepas Leganes menyamakan kedudukan menerusi Martin Braithwaite dan Valverde membawa masuk Messi selepas itu.

Dia memerlukan hanya tujuh minit untuk membuat impak apabila sepakan lencongnya disambut Luis Suarez, yang menampan masuk mengatasi penjaga gol Leganes, Pichu Cuellar. Messi kemudian melengkapkan kemenangan dengan menyumbat gol pada masa kecederaan.

PEMAIN Barcelona, Lionel Messi meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Leganes pada aksi La Liga di Stadium Camp Nou, awal pagi tadi. - Foto Reuters
PEMAIN Barcelona, Lionel Messi meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Leganes pada aksi La Liga di Stadium Camp Nou, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Leganes membantah terhadap gol Suarez, yakin Pichu dikasari oleh penyerang Uruguay itu sebelum menjaringkan gol.

“Jelas ia kekasaran,” kata jurulatih Mauricio Pellegrino. “Barca tidak memerlukan keputusan sebegini untuk membantu mereka.”

Namun VAR tidak bersetuju dan Barca melakar kemenangan yang menyaksikan mereka kekal selesa di depan Atletico Madrid di puncak liga, dengan jurang berbanding Real Madrid juga kembali kepada 10 mata.

Leganes menewaskan Barcelona di laman sendiri September lalu namun ia kekal persembahan terbaik mereka sepanjang kempen. Mereka kekal di tangga ke-14.

Valverde dituduh gagal merehatkan pemain tonggak musim lalu, menjejaskan kemaraan mereka dalam Liga Juara-Juara dan percaturannya terhadap pemain bintangnya kelihatan berbaloi.

“Terlalu banyak perlawanan,” kata Valverde. “Kami bercakap dengan pemain dan memutuskan mungkin bagus buat mereka berehat.” - AFP

Berita Harian X