Rabu, 23 Januari 2019 | 12:35pm
PENYOKONG meletakkan bunga dafodil dan skarf biru dan putih di perkarangan Stadium Cardiff City. - Foto AFP

Penyokong Cardiff doa keajaiban Sala

CARDIFF, Wales: Penyokong Cardiff City yang terkejut menyertai pegawai kelab mendoakan keajaiban semalam apabila pembelian termahal kelab Liga Perdana Inggeris itu, Emiliano Sala dikhuatiri mati selepas kapal terbang dinaikinya hilang di Kepulauan Channel.

Penyerang Argentina berusia 28 tahun itu antara dua orang yang masih belum ditemui selepas hubungan terputus dengan pesawat ringan itu awal pagi semalam.

Polis Guernsey di kepulauan Britain menangguhkan pencarian mereka pada sebelah malam dan memberi amaran peluang untuk selamat “tipis” jika kapal terbang itu mendarat di atas air.

Sala dalam perjalanan ke ibu negara Wales untuk berlatih dengan rakan sepasukan barunya buat kali pertama selepas melengkapkan perpindahan bernilai £15 juta (RM80 juta) ke Cardiff dari kelab Perancis, Nantes Sabtu lalu.

Kehadiran pemain yang meledak 12 gol dalam Ligue 1 musim ini diharap dapat membantu kelab itu yang cuba mengelak daripada tersingkir ke liga bawahan.

Namun kegembiraan itu menjadi kebimbangan ketika penyokong meletakkan jambangan bunga dan mesej dukacita di perkarangan Stadium Cardiff City.

Penyokong yang masih terkejut dengan berita itu berkumpul di tempat letak kereta kelab itu, sesetengahnya meletakkan bunga dafodil serta skarf biru dan putih warna kelab itu.

“Kami teruja dengan kehadiran pemain baru di kelab ini kerana ia boleh mencetus kegembiraan. Itulah yang kami rasakan mengenai Sala,” kata penyokong Cardiff, Josh Thomas, 24.

“Dia seorang yang diharap mampu mengubah nasib kami dan menjaringkan gol yang boleh mengekalkan kami di liga utama. Dia pasti menjadi kegilaan peminat termasuk saya. Tapi dalam beberapa jam banyak perkara berubah.” - AFP

945 dibaca
Berita Harian X