Rabu, 23 Januari 2019 | 4:09pm
Gambar yang dikeluarkan oleh Cardiff City FC melalui Noticias Argentinas, menunjukkan pemain bola sepak Argentina Emiliano Sala bergambar dengan jersi Cardiff selepas menandatangani kelab itu, di Cardiff, pada 20 Januari 2019.. - Foto AFP

Ranieri anggap Sala seorang pejuang

LONDON: Pengurus Fulham Claudio Ranieri menyifatkan penyerang Cardiff City, Emiliano Sala sebagai seorang pejuang dan dia terkejut serta sedih apabila mengetahui pemain itu berada dalam pesawat yang hilang ketika melalui ruang udara Selat Inggeris, kelmarin.

Sala yang sudah pun melengkapkan perpindahan berjumlah 17 juta euro (RM80 juta) dari kelab Ligue 1, Nantes ke Cardiff sedang dalam penerbangan ke ibu kota Wales apabila pesawat dinaikinya terputus hubungan berhampiran Kepulauan Guernsey.

Penyerang Argentina berusia 28 tahun itu beraksi di bawah kendalian Ranieri di Nantes musim lalu dan menamatkan kempen sebagai penjaring terbanyak kelab dengan 12 gol.

"Emiliano memiliki karakter menarik,” kata Ranieri dalam laman wab kelab. "Dia pemain fantastik dan selalu memberi yang terbaik ketika kami bersama di Perancis.

"Mengenalinya secara peribadi saya tahu dia seorang pejuang.”

Pengurus AS, Monaco Thierry Henry dalam Twitternya berkata: “Sangat sedih mendapat tahu berita mengenai Emiliano Sala. Berdoalah semoga ada berita gembira dan mendapat kekuatan semangat buat keluarga dan rakannya.”

Sementara itu, pertahanan West Ham dari Argentina, Pablo Zabaleta dalam Twitternya pula berharap mendapat berita positif: “Doa saya buat pemain, juruterbang, keluarga mereka dan @CardiffCityFC." - REUTERS

999 dibaca
Berita Harian X