Sabtu, 26 Januari 2019 | 3:09pm
Bekas pemain pasukan Hanelang FC, Mohd Faizal Mansor, 33 menuntut majikannya membayar tunggakan gaji dia dan rakan sepasukan yang tertunggak selama lapan bulan. - Foto Malik Muhamad

Pemain Hanelang FC lapan bulan ikat perut

KUALA TERENGGANU: Belumpun reda isu tunggakan gaji pemain Terengganu City FC (TCFC), kini sebuah lagi pasukan beraksi dalam Liga FAM musim lalu iaitu Hanelang FC tampil menuntut hak mereka juga berkaitan tunggakan gaji.

Jika pemain TCFC terpaksa 'mengikat perut' empat bulan susulan tidak dibayar gaji mulai Julai hingga Oktober 2018, pemain Hanelang FC melalui kehidupan lebih perit selepas tidak mendapat gaji selama lapan bulan mulai Mac hingga Oktober 2018.

Malah pemain Hanelang FC yang didaftarkan di bawah Persatuan Bolasepak Daerah Hulu Terengganu juga hanya mendapat 'habuan' janji palsu daripada pihak majikan berkaitan isu tunggakan gaji mereka biarpun aduan sudah dibuat kepada FAM (Persatua Bolasepak Malaysia) dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

Terkilan dan rasa tertipu dengan pihak pengurusan skuad membuatkan pemain pasukan itu tampil menghubungi Sukan NSTP untuk meluahkan isi hati.

"Kesabaran kami kini sudah mencapai tahap kemuncak selepas sekian lama menunggu bagaikan buah tidak gugur berikutan kedegilan pihak pengurusan membayar gaji.

"Kami tampil menghubungi Sukan NSTP tidak berniat memalukan sesiapa tapi hanya meluahkan keadaan sebenar melanda kami selain menuntut pihak pengurusan membayar tunggakan gaji kami yang sudah berlarutan hampir setahun sejak Mac tahun lalu," kata bek kiri skuad itu, Mohd Faizal Mansor yang mewakili 19 lagi rakan sepasukan.

Selain Faizal yang pernah menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT), DRB -Hicom, Sime Darby dan Perak, pemain lain yang turut membarisi skuad Hanelang FC itu termasuk bekas kapten Terengganu, Zairo Anuar Zailani, Tuah Iskandar, Hasmizan Kamarodin, Haris Safwan Kamal, Azlan Zainal dan bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd Syamsuri Mustaffa.

Mengulas lanjut, Faizal berkata, sepanjang lapan bulan tidak dibayar gaji kehidupannya begitu perit kerana terpaksa mengikat perut selain meraih simpati rakan dan ahli keluarga untuk meneruskan hidup.

"Kehidupan begitu perit, kadang kala air mata mengalir mengenangkan ketika itu isteri saya sakit dan sudah pasti perlu menjalani rawatan susulan secara kerap, saya juga terpaksa membayar sewa rumah selain perbelanjaan harian dan sebagainya.

"Keperitan kami siapa yang tahu? Malah kadang kala saya terpaksa bekerja sebagai tukang rumah, baiki paip, tolong rakan demi kelangsungan hidup.

"Sekarang saya sekeluarga masih mampu membayar sewa rumah, tapi tidak mustahil saya akan dihalau keluar rumah suatu hari nanti jika pihak pengurusan terus membisu.

"Justeru kami merayu majikan membayar tunggakan gaji kami seberapa segera kerana kami sudah lama mengadu kepada FAM sejak November lalu dan badan induk bola sepak negara itu sudahpun mengeluarkan arahan kepada majikan untuk melunaskan tunggakan gaji namun sampai sekarang ‘habuk’ pun tiada," kata Faizal kecewa.

Berita Harian X