Ahad, 27 Januari 2019 | 5:57pm

Peminat Hobin Jang Hobin 'serbu' pelancaran jersi baharu 

SEREMBAN: Lebih 2,000 peminat hadir bagi memeriahkan majlis memperkenalkan jersi baharu pasukan bola sepak Negeri Sembilan untuk musim 2019 di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz itu memperkenalkan tiga rekaan khas jersi tajaan Rhino Southeast Asia (Rhino Sea) yang memilih warna kuning hitam untuk aksi di laman sendiri, merah untuk perlawanan di tempat lawan dan putih sebagai seragam ketiga.

Hadir sama Presiden Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus al-Qadri; Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun; Pengerusi Rhino Sea, Nizamuddin Hamid dan Timbalan Presiden PBNS, Dr Razali Ab Malik.

Menurut Tunku Syed Razman, pihaknya percaya tajaan Rhino Sea dapat memantapkan prestasi pasukan yang akan beraksi dalam saingan Liga Perdana.

"Kami berharap dengan kehadiran Rhino, dapat memantapkan prestasi pasukan PBNS. Semoga jersi baharu ini menjadi pemangkin semangat kepada semua pemain seterusnya beraksi cemerlang.

"Sasaran kita ialah naik ke Liga Super tahun depan. Kita percaya sasaran itu realistik untuk dicapai dengan gandingan mantap barisan kejurulatihan yang diketuai Mat Zan Mat Aris dengan dibantu Mohamad Zaki Sheikh Ahmad," katanya.

Pemain pertahanan, Norhafiz Zamani Misbah pula dilantik kapten pasukan.

Sementara itu, Nizamuddin berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan pasukan Negeri Sembilan dan jersi itu adalah rekaan terbaharu yang dicipta untuk keselesaan pemain.

Tunku Ali Redhauddin (kiri) menunjukkan jersi Negeri Sembilan yang diterima pada majlis memperkenalkan jersi baharu pasukan bola sepak Negeri Sembilan untuk musim 2019 di Seremban 2, hari ini. - NSTP/Adzlan Sidek
Antara pemain Negeri Sembilan pada majlis memperkenalkan jersi baharu pasukan bola sepak Negeri Sembilan untuk musim 2019 di Seremban 2, hari ini. - NSTP/Adzlan Sidek
Antara pemain Negeri Sembilan pada majlis memperkenalkan jersi baharu pasukan bola sepak Negeri Sembilan untuk musim 2019 di Seremban 2, hari ini. - NSTP/Adzlan Sidek
Berita Harian X