Isnin, 28 Januari 2019 | 1:37pm

Kelantan ikat David Rowley

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengikat bekas pemain Negeri Sembilan, David Rowley, untuk melengkapkan barisan pemain tempatan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pengesahan itu diumumkan Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, yang mengharapkan kehadiran pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia ini mampu membentuk gandingan mantap dengan Flavio Beck Junior dan Nik Akif Syahiran.

Katanya, KAFA bersetuju mengikat kontrak Rowley yang pernah mewakili beberapa pasukan di Liga Jerman termasuk Tennis Borussia Berlin dan CS Grevenmacher selama setahun, untuk mengisi posisi tengah dan penyerang skuad The Red Warriors (TRW) musim ini.

Untuk rekod,  pemain berketinggian 1.85 meter dan berusia 28 tahun itu pernah menyarung jersi PDRM dan pasukan terakhir diwakili di saingan Liga M ialah Negeri Sembilan pada 2018.

Sementara itu, Rowley mengakui, dia cukup gembira dapat menyertai TRW, sekaligus bakal bergandingan dengan pemain muda pasukan negeri ini dalam saingan Liga Perdana musim ini.

"Saya yakin, kehadiran pemain import seperti Cassio, Flavio Beck, Mustafa Zazai, dan Raul Tarragona mampu membentuk gandingan berbisa TRW.

"Misi saya bersama TRW adalah ingin membantu pasukan ini kembali semula ke Liga Super 2020," katanya.

979 dibaca
Berita Harian X