Rabu, 30 Januari 2019 | 9:55am
Pemain Manchester City memberi penghormatan pemain Cardiff kepada Emiliano Sala sebelum sepakmula. - Foto REUTERS

Arsenal tundukkan Cardiff, Sala diberi penghormatan 

LONDON: Arsenal memberikan Cardiff kekalahan 1-2, awal pagi tadi ketika kelab Wales itu kembali beraksi buat kali pertama sejak insiden kehilangan pesawat yang membawa pemain termahalnya, Emiliano Sala di Kepulauan Channel, minggu lalu.

Sala tidak berpeluang untuk bermain di Cardiff, selepas pesawat yang membawa penyerang Argentina itu serta juruterbang, David Ibbotson tidak dapat dikesan ketika menuju ke ibu negara Wales itu pada 21 Januari lalu, dua hari selepas perpindahannya bernilai 15 juta pound (RM80.53 juta) dari Nantes dimuktamadkan.

Seminit penghormatan diberikan sebelum sepak mula, dengan peminat Cardiff yang hadir di Emirates mengibarkan kain rentang bertulis: “Kami tidak pernah melihat kamu bermain dan tidak akan pernah melihat kamu menjaringkan gol tetapi Emiliano, ‘bluebird’ kami yang cantik akan sentiasa menyayangi kamu selamanya.”

Kapten kedua-dua pasukan turut membawa jambangan bunga ke atas padang sebelum sepak mula, manakala jersi dan bendera Argentina antara yang dikibarkan penyokong pelawat. 

Pengurus Cardiff, Neil Warnock menyifatkan minggu lalu sebagai paling sukar dalam kariernya dan mendedahkan beliau serta segelintir pemainnya perlu mendapatkan bantuan psikologi menjelang perlawanan berkenaan.

Cardiff bermula dengan baik pada perlawanan itu dan memperoleh beberapa peluang pada babak pertama, antaranya menerusi sepakan voli dan tandukan Bobby Reid, tetapi gagal menemui jaringan.

Bos Arsenal, Unai Emery turut mencipta kejutan dengan menyenaraikan Mesut Ozil sebagai kapten, ketika beliau melakukan tujuh perubahan dalam skuadnya yang tewas kepada Manchester United dalam aksi Piala FA, minggu lalu.

Ini kali pertama Ozil disenaraikan dalam kesebelasan utama bagi kempen Liga Perdana sejak Krismas, tetapi kehadirannya tidak mencetus impak besar dan digantikan 14 minit sebelum perlawanan berakhir.

Arsenal dinafikan dua sepakan penalti sebelum rehat selepas penyerangnya, Alexandre Lacazette tampak dijatuhkan oleh Bruno Ecuele Manga, sebelum dikasari Sol Bamba.

Tuan rumah yang terdesak memburu gol akhirnya memperoleh penalti dalam cubaan ketiga, apabila Manga menjatuhkan Sead Kolasinac dan Pierre-Emerick Aubameyang dengan mudah menyempurnakannya pada minit ke-66 untuk gol ke-15 dalam saingan Liga Perdana.

Penjaga gol Cardiff, Neil Etheridge bertindak cemerlang menafikan cubaan Alex Iwobi selepas itu, tetapi pemain dari Filipina itu gagal menghalang cubaan Lacazette, tujuh minit sebelum perlawanan berakhir. 

Gol sagu hati pelawat dijaringkan Nathaniel Mendez-Laing pada masa kecederaan untuk membolehkan Arsenal meraih tiga mata dan mengisi tangga kelima liga. - AFP

 

405 dibaca
Berita Harian X