Jumaat, 1 Februari 2019 | 10:57am
CESAR Azpilicueta. - Foto Reuters
CESAR Azpilicueta. - Foto Reuters

Azpilicueta harap 'sesi tegang' cetus kebangkitan

LONDON: Cesar Azpilicueta berharap keputusan Maurizio Sarri mengadakan perbincangan panjang selepas kekalahan memalukan Chelsea di tangan Bournemouth mampu mencetuskan kebangkitan dalam tempoh sukar ketika mereka bersedia menanti kehadiran pasukan bawahan liga, Huddersfield.

Skuad kendalian Sarri tewas 4-0 awal pagi Khamis lalu dalam kejutan yang menyaksikan kekalahan terbesar Chelsea dalam Liga Perdana sejak 1996.

Bukan kali pertama musim ini, Chelsea membayar harga yang mahal kerana gagal menukar kawalan bola yang bagus pada babak pertama kepada gol, musnah selepas rehat ketika Bournemouth menghukum pertahanan longlai David Luiz dan Antonio Rudiger.

Kekalahan kelima Chelsea dalam 12 saingan liga menyebabkan pasukan barat London hilang tempat dalam kalangan empat teratas apabila Arsenal memintas mereka menerusi perbezaan gol dan Sarri, yang tiba dari Napoli pada Julai, kini bertarung untuk mengekalkan tempatnya.

Pengendali Itali yang berang itu meminta staf sokongan meninggalkan bilik persalinan Chelsea di Dean Court ketika dia membuat ‘bedah siasat’ selama 40 minit bersendirian dengan skuadnya.

Kapten Chelsea, Azpilicueta mengakui rasa marah semakin meluap kerana persembahan mereka jauh daripada tahap ditetapkan juara Liga Perdana 2016/17 itu.

Namun pertahanan kanan itu berharap sesi tegang itu akan menjadi peringatan buat keseluruhan musim ini.

“Selepas itu kami bercakap seperti seorang lelaki antara pengurus dan pemain,” kata Azpilicueta. “Ia keputusan yang sukar selepas dua kemenangan dalam saingan merebut piala.... Untuk tewas 4-0 sebagai pemain Chelsea memang tidak boleh diterima.”

“Jatuh kembali memang sangat mengecewakan,” katanya. “Kami sangat marah. Ia tidak boleh diterima buat Chelsea dan kami perlu cari penyelesaian.” - AFP

Berita Harian X