Sabtu, 2 Februari 2019 | 8:32pm
Pemain Selangor United, Yusaini Hafiz Chee Saad (tengah) bersaing untuk mendapatkan bola dengan penjaga gawang Kelantan, Abdul Arif Abdullah (belakang) pada saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Selayang hari ini. - Foto BERNAMA
Pemain Selangor United, Mohd Rizzal Fahmi Ab Rosid (dua, kanan) mengasak pemain Kelantan, Mohd Khairul Rizam Che Soh (kanan) pada saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Selayang hari ini. - Foto BERNAMA

Selangor United kejutkan Kelantan

SELAYANG: Ketumpulan jentera serangan menyempurnakan peluang terhidang antara punca kekalahan 1-0 Kelantan di tangan Selangor United pada aksi pertama Liga Perdana di Stadium Selayang, hari ini.

Komitmen dan disiplin pemain kelab itu nyata menjadi azimat buat kelab itu untuk mencipta kejutan ke atas Kelantan dan pengendali Selangor United, Abd Talib Sulaiman nyata gembira dengan tiga mata itu yang disifatkan sebagai pencetus semangat untuk mengharungi baki saingan.

"Paling penting adalah kita dapat tiga mata. Kita pasukan baharu namun anak buah saya buktikan yang kita bukan pasukan yang senang untuk ditewaskan,” kata Abd Talib.

"Mata ini cukup berharga untuk mencetus semangat bagi mengharungi saingan liga yang panjang. Buat masa ini, mereka beraksi baik dan mendengar arahan sekali gus ia menjurus kepada kemenangan ini."

Terdahulu, Kelantan bermula garang dengan beberapa peluang dicipta tetapi gagal menghasilkan jaringan.

Pada minit ke-23, berpunca daripada serangan balas, tuan rumah akhirnya memecah kebuntuan menerusi rembatan cantik Nikita Olegovich Pavlenko untuk meletakkan Selangor United di depan.

Bersambung babak kedua, Selangor United dilihat lebih garang dan selesa mengawal bola dalam mengatur serangan.

Kemasukan Fauzi Roslan menggantikan Mustafa Zazai berjaya menambah sengat di barisan depan Kelantan namun setiap umpanan gagal diterjemah dengan jaringan.

Peluang terbaik pelawat hadir pada minit ke-88 menerusi ketua pasukan, Cassio Francisco de Jesus namun pertahanan lawan pantas mengeluarkan bola di atas garisan gol. 

Berita Harian X