Sabtu, 2 Februari 2019 | 11:31pm
Pemain PKNP FC, Kalidou Calibaly Yero (kiri) mengasak pemain Kedah, Muhammad Shakir Hamzah (kanan) dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. - NSTP/Abdullah Yusof
Penyokong hadir menonton perlawanan antara PKNP FC menentang Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. - NSTP/Abdullah Yusof

Kedah raih tiga mata di Manjung

IPOH: Kedah memperoleh tiga mata pada perlawanan pertama Liga Super musim ini selepas menumpaskan PKNP FC 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung sebentar tadi.

Beraksi di gelanggang baharu, PKNP FC lebih banyak menahan asakan pasukan pelawat sehingga empat kad kuning dilayangkan kepada pemain tuan rumah.

Kedua-dua gol Kedah dijaringkan pada babak kedua menerusi Muhammad Shakir Hamzah pada minit ke-66 dan Jonatan Jesus Bauman pada minit ke-86.

Gol pertama Kedah disumbangkan Muhammad Shakir ketika keadaan kelam kabut di hadapan gawang PKNP yang bermula daripada sepakan sudut kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar tepat ke kaki Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam yang merembat ke arah gol sebelum dikuis masuk Muhammad Shakir.


Pemain PKNP FC, Ahmad Sukri Ab Hamid (dua dari kanan) berebut bola dengan pemain Kedah, Mohamad Zaquan Adha Abd Razak (dua dari kiri) dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. - NSTP/Abdullah Yusof

Pasukan pelawat mengukuhkan kedudukan pada minit ke-86 apabila Jonatan membuat larian solo dari sebelah kiri petak penalti sebelum merembat masuk ke sudut kanan gawang tuan rumah.

Peluang terbaik PKNP hadir pada minit ke-18 apabila sepakan sudut kaptennya, Mohamad Hafiz Ramadan menemui Siyovush Asrorov, namun rembatannya tepat ke dakapan penjaga gol Kedah Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim. 

Berita Harian X