Ahad, 3 Februari 2019 | 8:24pm

PBSNT perlu segera 'guna kuasa'

KUALA TERENGGANU: Bekas ‘orang kuat’ Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berpendapat kemelut tunggakan gaji bekas pemain Terengganu City FC (TCFC) dan Hanelang FC mampu diselesaikan dengan kaedah bijaksana.

Bekas presiden PBSNT itu berkata, sebagai badan induk bola sepak negeri, persatuan itu perlu melihat masalah itu secara lebih serius dan perlu campur tangan bagi menyelesaikan kemelut itu daripada terus berpanjangan kerana mangsanya adalah pemain.

Selain perbincangan membabitkan kelab, persatuan bola sepak daerah dan negeri, bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu berkata campur tangan dan belas ihsan daripada kerajaan negeri juga penting bagi memastikan kemelut itu dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.

"Dalam hal ini, walaupun tanggungjawab sebenar untuk membayar gaji pemain terletak kepada pasukan yang diwakili tetapi PBSNT sebagai bapa kepada ahli gabungan persatuan daerah tidak boleh bersikap lepas tangan sebaliknya perlu campur tangan lebih-lebih lagi kemelut tunggakan gaji itu bagaikan tiada kesudahannya.

"Saya yakin dan percaya kemelut itu mampu diselesaikan jika kelab, persatuan bola sepak daerah dan juga PBSNT duduk semeja mencari pendekatan terbaik secara bijaksana.

"PBSNT harus menyokong jika ada permintaan dan rayuan daripada kelab terbabit serta persatuan bola sepak daerah bagi menyelesaikan kemelut itu termasuk jika ada permintaan untuk mengadakan perjumpaan.

"PBSNT boleh bawa isu ini kepada kerajaan negeri, jika tidak mampu untuk menyelesaikan 100 peratus kemelut gaji pemain, dapat 50 atau 60 peratus pun jadilah, janji disalur terus kepada pemain bukannya melalui kelab.

"Bagaimanapun, saya masih menaruh harapan agar majikan kelab yang diwakili itu mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemainnya kerana saya percaya pemain sering menanti berita gembira berkaitan itu," kata Che Mat kepada Sukan NSTP.

Sebelum ini, pemain Hanelang FC yang beraksi dalam saingan Liga FAM  musim lalu menuntut  tunggakan gaji mereka berjumlah RM1.1 juta daripada bekas majikan mereka.

Selain itu, bekas pemain TCFC yang turut beraksi dalam kancah Liga FAM musim lalu menuntut sebanyak RM977,100 dengan jumlah berkenaan tidak termasuk termasuk tunggakan gaji bekas jurulatih.

Berita Harian X