Isnin, 4 Februari 2019 | 7:31am
Pemain bertafakur bagi mengenang Emiliano Sala sebelum sepak mula perlawanan diantara Cardiff City dan Bournemouth di Stadium Cardiff City, Wales, Sabtu lalu. - Foto AFP

Penyiasat jumpa bangkai pesawat dinaiki Sala

LONDON: Pesawat yang membawa pemain Argentina, Emiliano Sala dan juruterbangnya sudah ditemui, kata penyiasat kepada AFP, awal pagi tadi.

"Saya boleh mengesahkan yang ia sudah ditemui," kata jurucakap Cawangan Siasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB).

Jurucakap itu berkata, AAIB dijadual mengeluarkan satu kenyataan, hari ini.

Sala menaiki pesawat ringan dari Perancis untuk menyertai kelab baharunya yang beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris, Cardiff City pada 21 Januari lalu sebelum hilang berdekatan Channel Islands.

Serpihan bangkai pesawat yang dikatakan dari pesawat itu di temui di pantai Normandy di Perancis, Rabu lalu.

Sala menaiki pesawat Malibu Piper PA-46 selepas berpindah dari pasukan Perancis, Nantes dengan perpindahan bernilai 17 juta euro (RM79.77 juta).

Pesawat dinaikinya hilang daripada radar, 20 kilometer di utara Guernsey, dengan juruterbang Dave Ibbotson adalah satu-satunya individu berada dalam penerbangan itu.

David Mearne yang memiliki syarikat persendirian, Blue Water Recoveries, diupah keluarga Sala untuk mencari pesawat berkata dalam Twitter, serpihan itu mula ditemui awal pagi semalam. - AFP

1722 dibaca
Berita Harian X