Isnin, 4 Februari 2019 | 9:57am
Penyerang Lyon, Moussa Dembele (kanan) meloloskan diri dari pertahanan Paris Saint-Germain, Dani Alves pada perlawanan Ligue 1, awal pagi tadi. - Foto AFP

Lyon tamatkan rekod tanpa kalah PSG  

PARIS: Moussa Dembele meledak jaringan dan meraih satu sepakan penalti apabila Lyon menumpaskan Paris Saint-Germain 2-1 bagi menamatkan harapan pendahulu untuk meneruskan rekod tanpa kalah dalam kempen Ligue 1, awal pagi tadi.

Angel Di Maria membenarkan PSG mendahului pada minit ketujuh namun Dembele menyamakan kedudukan sebelum Nabil Fekir menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti, tiga minit selepas babak kedua bermula.

"Saya tidak tahu sekiranya kekalahan itu layak buat kami. Pada babak pertama, ia tampak sepatutnya tetapi selepas itu, kami masih menguasai," kata penyerang PSG, Kylian Mbappe.

Meskipun tewas, pasukan juara bertahan itu kekal mendahului 10 mata daripada penghuni tangga kedua, Lille berbaki dua perlawanan dalam tangan manakala Lyon mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga, tiga mata di belakang.

"Kami melakukan apa yang dirancang, seperti menyerang, hantaran pantas dan cuba memberi mereka masalah setiap masa kami menerima bola," kata jurulatih Lyon, Bruno Genesio. "Saya tidak fikir mereka biasa dengan keadaan itu dalam saingan Ligue 1."

Tumpuan kini kembali dalam saingan Liga Juara-Juara untuk PSG, dengan pertembungan kelab di liga ketiga, Villefranche dan satu perlawanan di laman sendiri menentang Bordeaux sebelum pusingan 16 terbaik. 

Mereka dijadual bertemu Manchester United untuk aksi pusingan pertama di Old Trafford pada 12 Februari ini.

Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer dan pembantunya Mike Phelan, kedua-duanya berada di Stadium Groupma pada Ahad, hanya beberapa jam selepas kelab kendalian mereka mencatat kemenangan 1-0 ke atas Leicester.

Gandingan itu mungkin dapat mempelajari daripada aksi Lyon yang memecah pertahanan PSG tatkala Mbappe banyak memikul tanggungjawab di bahagian serangan dengan ketiadaan Neymar.

"Saya tidak bimbang mengenai Liga Juara-Juara," kata Mbappe. "Kami harus mengambil setiap perlawanan secara satu demi satu dan menanti Liga Juara-Juara." - AFP

Berita Harian X