Selasa, 5 Februari 2019 | 11:47am
Foto disediakan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara British (AAIB) menunjukkan bangkai pesawat ringan N264DB yang membawa pemain bola sepak Argentinia, Emiliano Sala kelihatan di bawah Selat Inggeris. - Foto EPA

Ada mayat dalam bangkai pesawat dinaiki Sala

LONDON: Pasukan ‘pemburu kapal karam’ yang menemui bangkai pesawat membawa Emiliano Sala berkata adalah penting membawa keluar pesawat itu daripada dasar Selat Inggeris demi keluarganya selepas penyelam mendapati ada mayat di dalam bangkai pesawat itu.

Saintis Marin, David Mearns secara sukarela membantu keluarga Sala selepas usaha mencari oleh beberapa agensi menemui jalan buntu. 

Pasukannya berjaya menemui bangkai pesawat pada kedalaman 220 kaki di dasar laut.

Imej bangkai pesawat itu disiarkan Cawangan Penyiasat Kemalangan Udara (AAIB) hari ini dan mendedahkan terdapat mayat sama ada Sala atau juruterbang David Ibbotson di dalamnya.

Mearns berkata: “Pesawat itu sudah dijumpai dan sekarang lebih penting kita tahu ada mayat di dalamnya.”

Jurucakap AAIB berkata: “Tragiknya di dalam video diambil ROV ada satu mayat di dalamnya. AAIB kini menimbangkan langkah selanjutnya dan akan mengambil pandangan keluarga mereka dan polis.”

Imej terbaru itu memaparkan bahagian belakang sebelah kiri fiuslaj termasuk bahagian yang tertera nombor pendaftaran pesawat N264DB.

Belum ada keputusan dibuat untuk membawa bangkai pesawat itu ke permukaan. - AGENSI

2201 dibaca
Berita Harian X