Rabu, 6 Februari 2019 | 12:52am
PENYERANG Manchester United, Marcus Rashford bakal diperbaharui kontrak bersama skuad Red Devils. FOTO AFP
PENYERANG Manchester United, Marcus Rashford bakal diperbaharui kontrak bersama skuad Red Devils. FOTO AFP

Khabar baik buat Rashford

LONDON: Manchester United sudah mengadakan perbincangan dengan Marcus Rashford mengenai pembaharuan kontrak susulan prestasi memberangsangkan ditampilkan penyerang England itu di bawah kendalian pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer.

Pemain berusia 21 tahun itu meledak gol ke-10 miliknya musim ini ketika United menewaskan Leicester 1-0, minggu lalu dan muncul pemain kedua paling muda mencatatkan perlawanan ke-100 buat United selepas Ryan Giggs.

Kontrak Rashford dijadual berakhir pada tahun depan dan sekali pun Red Devils mempunyai pilihan untuk melanjutkannya sehingga 2021, perbincangan bagi mendapatkan perjanjian baharu difahamkan sudah berjalan.

Rashford disenaraikan dalam kesebelasan utama United bagi kelapan-lapan perlawanan liga sejak Solskjaer mengambil alih tugas pengurus berikutan pemecatan Jose Mourinho pada Disember dan menjaringkan enam gol.

Selain Rashford, United turut melakukan perbincangan mengenai kontrak baharu penjaga golnya, David de Gea selepas sah mengikat penyerang Perancis, Anthony Martial sehingga 2024.

Solskjaer sebelum ini berkata Martial dan Rashford boleh mencipta perseteruan yang bagus di atas padang bagi United di masa depan.

“Saya berharap mereka akan terus bermain selama bertahun-tahun lagi, jadi jika mereka memahami satu sama lain, ia adalah kerana mereka amat bagus ketika datang dari bahagian kiri,” katanya.

“Jika salah seorang daripada mereka bermain di tengah, kemudian salah seorang daripada mereka harus mempunyai gerakan yang bertentangan.” - AFP

Berita Harian X