Khamis, 7 Februari 2019 | 2:19pm
- Foto Reuters

Mayat dalam pesawat bawa Sala dikeluarkan

LONDON: Penyiasat British berkata mereka sudah menemui mayat daripada bangkai pesawat yang membawa pemain bola Argentina, Emiliano Sala.

Pesawat ringan yang membawa pemain berusia 28 tahun itu dan juruterbang David Ibbotson ke kelab baharunya di Liga Perdana Inggeris, Cardiff City hilang berhampiran pulau Guernsey pada 21 Januari lalu.

"Dalam situasi mencabar, AAIB dan kontraktor pakar berjaya menemui mayat yang berhampiran bangkai pesawat," kata Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB).

"Operasi mengeluarkan mayat berjalan lancar dan pihak keluarga sentiasa dimaklumkan tentang perkembangan semasa."

Namun, percubaan untuk membawa bangkai pesawat ke permukaan tidak berjaya kerana keadaan cuaca buruk.

"Ramalan cuaca kurang baik dan keputusan sukar terpaksa dibuat untuk menghentikan operasi keseluruhan ini," kata AAIB dalam kenyataan media itu.

Mayat yang ditemui akan diserahkan kepada koroner untuk tindakan pengecaman.

Sala menaiki pesawat berkenaan untuk menyertai Cardiff dari pasukan Perancis, Nantes dengan pemindahannya adalah yang termahal dalam sejarah kelab dari Welsh itu. – AFP

1138 dibaca
Berita Harian X