Jumaat, 8 Februari 2019 | 7:36am
MOUSSA Dembele ketika menjaringkan gol pada aksi Piala Perancis. - Foto AFP

Lyon ke suku akhir Piala Perancis

PARIS: Bekas penyerang Celtic, Moussa Dembele meneruskan prestasi cemerlangnya dengan menghasilkan gol pembukaan ketika Lyon mengatasi Guingamp 2-1 untuk mara ke suku akhir Piala Perancis, awal pagi tadi.

Lyon, yang memburu trofi sulung sejak tahun 2012, akan bertemu Caen pada aksi lapan terakhir dalam tempoh tiga minggu lagi.

Ia melengkapkan minggu bergaya buat Lyon selepas mereka turut menewaskan peneraju Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG) 2-1.

Dembele meletakkan skuad kendalian Bruno Genesio di depan seawal minit ketujuh dengan menyambut baik bola lambungan jauh dan menyumbat gol kelima dalam enam perlawanan, selepas turut meledak gol ketika berdepan PSG.


MOUSSA Dembele bersama Nabil Fekir selepas menjaringkan gol pada aksi Piala Perancis. - Foto AFP

Maxwell Cornet melambung masuk bola hantaran lintang Ferland Mendy empat minit selepas bersambung babak kedua sebelum Alexandre Mendy menjaringkan gol sagu hati buat Guingamp.

Juara bertahan, PSG yang akan berentap dengan Manchester United dalam pertembungan 16 terakhir Liga Juara-Juara, memerlukan masa tambahan untuk menewaskan pasukan divisyen tiga, Villefranche 3-0, kelmarin. – AFP

Berita Harian X