Ahad, 10 Februari 2019 | 8:09am
PEMAIN PSG, Edinson Cavani cedera di bahagian kaki ketika perlawanan menentang Bordeaux di Parc des Princes. - Foto AFP

PSG menang, hilang khidmat Cavani

PARIS: Pengendali Paris Saint-Germain (PSG) Thomas Tuchel mengakui dia mungkin terpaksa beralih arah kepada ‘pelan D’ bagi menghadapi aksi Liga Juara-Juara menentang Manchester United selepas kecederaan terbaru yang menimpa penyerangnya Edinson Cavani.

Cavani kelihatan cedera di bahagian kaki ketika mengambil penalti hanya tiga minit sebelum rehat separuh masa untuk menghadiahkan PSG kemenangan liga 1-0 ke atas Bordeaux di Parc des Princes.

Ulang tayang televisyen menunjukkan bintang Uruguay itu menahan sakit dan meminta untuk ditukarkan. Dia kemudiannya meninggalkan padang dan digantikan oleh Kylian Mbappe selepas bersambung babak kedua.

Kehilangan Cavani, yang juga penjaring terbanyak PSG dengan 22 gol musim ini, tamparan hebat kepada gergasi Perancis itu menjelang aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara, Rabu ini.

“Saya tidak pasti sama ada dia boleh beraksi. Dia keluar selepas mengambil penalti. Ia mungkin berpunca daripada masalah kecederaan otot,” kata Tuchel.

PSG sudahpun terpaksa melupakan Neymar untuk aksi berdepan United, dengan penyerang Brazil itu hanya dijangka pulih sepenuhnya daripada kecederaan metatarsal pada awal April ini.

Dia berada di tempat duduk penonton ketika bertemu Bordeaux pagi tadi, yang turut menyaksikan kepulangan semula Marco Verratti yang sebelum ini berehat tiga minggu kerana kecederaan lutut.

“Mereka ini adalah pemain yang mempunyai kualiti beraksi dalam perlawanan penting. Tidak semua orang boleh beraksi di pentas tertinggi seperti Liga Juara-Juara.

“Kami mempunyai pelan B. Tanpa Neymar, mungkin tanpa Marco, dan mungkin tanpa Edi (Cavani). Kami mungkin menggunakan pelan D.

“Kami perlu menganalisa permainan Manchester United, dan kekal tenang dan yakin,” katanya. – AFP

Berita Harian X