Ahad, 10 Februari 2019 | 9:02am
SUASANA di Stadium St Mary ketika orang ramai bertafakur selama seminit bagi mengingati tragedi kematian Emiliano Sala. - Foto Reuters
SUASANA di Stadium St Mary ketika orang ramai bertafakur selama seminit bagi mengingati tragedi kematian Emiliano Sala. - Foto Reuters

Southampton berang penyokong ejek tragedi Sala

LONDON: Southampton berjanji akan menggantung penyokong yang menjadikan tragedi kematian Emiliano Sala sebagai bahan ejekan ketika menerima kunjungan Cardiff City, malam tadi.

Pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu adalah aksi pertama Cardiff sejak mayat yang ditemui oleh penyiasat British dalam bangkai pesawat yang terjunam ke Selat Inggeris dikenal pasti sebagai penyerang dari Argentina berkenaan.

Bagaimanapun, selepas perlawanan sebuah video di media sosial menunjukkan dua lelaki di Stadium St Mary membuat gerak isyarat kapal terbang yang ditujukan kepada kawasan tempat duduk pelawat.

Southampton mengesahkan polis sudah dan menahan dan mengambil butiran peribadi kedua-dua individu. Kelab juga berjanji akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang terbabit.

“Kelab Bolasepak Southampton mengesahkan bahawa dua penyokong sudah ditahan dan keterangan sudah diambil oleh polis sewaktu aksi bertemu Cardiff malam tadi,” kata kelab berkenaan.

“Kelab akan terus bekerjasama dengan polis Hampsire untuk mengenal pasti mana-mana individu lain yang dilihat membuat isyarat sama kepada penyokong Cardiff.

“Sikap sebegitu tidak boleh diterima di dalam sukan bola sepak dan kami tidak bertoleransi dengannya di St Mary.”

Pesawat yang membawa Sala dari Nantes ke Cardiff, kelab baharunya, hilang daripada radar berhampiran kepulauan Guernsey pada 21 Januari lalu. Bagaimanapun mayat juruterbang, David Ibbotson masih belum ditemui.

Sebelum sepak mula perlawanan semalam, semua di dalam stadium bertafakur selama seminit dan Cardiff muncul pemenang selepas jaringan masa kecederaan Kenneth Zohore membolehkan mereka mengatasi Southampton 2-1 untuk melangkah keluar daripada zon penyingkiran. – AFP

Berita Harian X