Ahad, 10 Februari 2019 | 7:09pm
Buffon percaya pasukannya memiliki kekuatan seimbang. - Foto AFP
Buffon percaya pasukannya memiliki kekuatan seimbang. - Foto AFP

Peluang PSG, Man Utd seimbang - Buffon

LONDON: Gianluigi Buffon percaya tiada pasukan dilabel pilihan bagi pertembungan Liga Juara-Juara yang menemukan Paris Saint-Germain (PSG) dan Manchester United.

Begitupun, penjaga gol veteran Itali itu menggesa rakan sepasukannya supaya menampilkan persembahan ‘lebih bersemangat dan kuat’ bertemu kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Juara Perancis itu membuat kunjungan ke laman skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford bagi aksi timbal balik pertama peringkat 16 terakhir, awal pagi Rabu ini.

Ketika United mengubah musim mereka dengan meraih 10 kemenangan daripada 11 perlawanan sejak ketibaan Solskjaer bagi menggantikan Jose Mourinho yang dipecat, pendahulu Ligue 1 PSG kalah kepada Lyon minggu lalu sebelum bangkit menewaskan Bordeaux 1-0, semalam.

Berusaha untuk mengukuhkan status sebagai antara pasukan terbaik di Eropah, bertemu gergasi Inggeris United penting buat skuad kendalian Thomas Tuchel.

Penyerang United, Romelu Lukaku sebelum ini melabel pasukannya sebagai ‘bukan pilihan’ bertemu PSG tetapi Buffon yang pernah menyarung jersi Juventus tidak bersetuju dan percaya mereka berada dalam keadaan bahaya jika berfikir sedemikian.

“Saya fikir kami perlu meningkatkan kualiti kami dari sudut mentaliti, sikap dan semangat berkorban untuk pasukan,” kata Buffon. “Perlawanan yang amat penting menanti kami Rabu ini. Kami perlu memperoleh perlawanan yang hebat.

“Perlawanan kami menentang Manchester United perlu lebih bersemangat, kuat, dengan sikap yang berbeza. Tiada (pilihan). Saya fikir kami setara, ia adalah 50/50.”

Ketika Buffon percaya pasukannya memiliki kekuatan seimbang menjelang aksi berkenaan, perkara begitupun tidak memihak PSG yang kehilangan tonggak, Neymar akibat kecederaan manakala Edinson Cavani juga tidak cergas apabila cedera ketika bertemu Bordeaux. - Agensi

Berita Harian X