Ahad, 10 Februari 2019 | 11:44pm
Reaksi penyerang sensasi Paris Saint-Germain, Edinson Cavani sewaktu menentang Girondins pada Ligue 1 Sabtu lalu. - Foto EPA
Reaksi penyerang sensasi Paris Saint-Germain, Edinson Cavani sewaktu menentang Girondins pada Ligue 1 Sabtu lalu. - Foto EPA

PSG sah hilang khidmat Cavani

PARIS: Edinson Cavani sah diketepikan Paris Saint-Germain (PSG) bagi aksi pertama peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara menentang Manchester United, awal pagi Rabu ini menurut juara Perancis itu, hari ini.

Akhbar Perancis, L'Equipe, sebelum ini melaporkan Cavani yang diberi jolokan El Matador mengalami ketegangan otot tetapi selepas ujian, ia disahkan penyerang itu mengalami kecederaan di bahagian pinggul.

PSG sudah pun kehilangan bintangnya Neymar sehingga April ini susulan masalah kaki manakala United sudah mengharungi deretan kemenangan sejak dikendalikan jurulatih sementara, Ole Gunnar Solskjaer.

“Ujian yang dijalankan menunjukkan kecederaan di bahagian pinggul. Rawatan dan tempoh pemulihan akan bergantung terhadap bagaimana tindak balasnya dalam masa beberapa hari,” kata PSG dalam laman web kelab itu.

Sebelum itu, jurulatih PSG Thomas Tuchel menggambarkan situasi Cavani yang sudah meledak 17 kali dalam kempen Ligue 1 dan dua kali dalam kancah Liga Juara-Juara sebagai tidak begitu memuaskan.

“Tiada berita baik mengenai Edi pada pagi ini, masih ada ujian sedang berjalan di pusat latihan kami dan kelab akan memberitahu perkembangannya selepas ini. Tetapi pandangan saya ia nampak tidak begitu baik,” kata Tuchel. “Amat sukar untuknya bermain.”

L'Equipe turut melaporkan Cavani yang terkenal dengan ketajamannya di depan gawang berkemungkinan terlepas aksi timbal balik pada 7 Mac depan. - AFP

Berita Harian X