Jumaat, 15 Februari 2019 | 3:24pm
Reaksi Pau Pogba ketika meninggalkan padang selepas menerima kad merah dari pengadil perlawanan ketika menentang Paris Saint-Germain, Selasa lalu. - Foto AFP
Reaksi Pau Pogba ketika meninggalkan padang selepas menerima kad merah dari pengadil perlawanan ketika menentang Paris Saint-Germain, Selasa lalu. - Foto AFP

Pogba tumbuk loker selepas dibuang padang

LONDON: Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba memohon maaf kepada rakan sepasukannya selepas dilayangkan kad merah ketika menentang Paris Saint Germain (PSG) dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu lalu, waktu Malaysia.

Pogba dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan keras ke atas Dani Alves yang menyaksikan United tewas 2-0 dalam perlawanan di Old Trafford itu.

Pemain antarabangsa Perancis itu terkejut dengan keputusan pengadil, Daniele Orsato sebelum berjalan ke terowong menuju bilik persalinan.

Dia melepaskan kemarahannya dengan menumbuk loker dibiliki persalinan United.

Akhbar The Sun kemudiannya melaporkan Pogba memohon maaf kepada rakan sepasukan susulan dia dilayangkan kad merah dan bakal terlepas aksi kedua di Paris.

United akan berkunjung ke Paris bagi menghadapi aksi kedua pada 6 Mac ini.

Kekalahan itu adalah yang pertama sejak Ole Gunnar Solskjaer memikul tugas sebagai pengurus sementara di Old Trafford.

United akan bertemu Chelsea untuk aksi Piala FA, awal Selasa ini, waktu Malaysia. - AGENSI

Berita Harian X