Sabtu, 16 Februari 2019 | 6:55pm
Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail. - Arkib NSTP

PFAM sokong tindakan tegas MFL

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menyambut baik langkah dan saranan Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam usaha menyelesaikan masalah gaji yang menghimpit Liga Malaysia (Liga M).

Tanpa menafikan masalah dialami pasukan dalam mencari dana bagi menyelesaikan masalah gaji, PFAM melihat langkah itu tidak boleh dianggap zalim sebaliknya satu langkah ke depan untuk memastikan nilai profesionalisme terus dijunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PFAM, Izham Ismail berkata beliau berbesar hati apabila MFL turut senada dalam isu ini dan pihaknya akan pastikan pemain dibela dengan sewajarnya.

"PFAM bersetuju dengan tindakan dan pandangan MFL yang diterajui Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan tindakan tegas adalah langkah terbaik untuk menangani isu tunggakan gaji pemain. 

“Tindakan tegas MFL kepada Kuantan FA patutnya jadi peringatan kepada semua pasukan supaya tidak mengambil ringan isu tunggakan gaji.

"Malah ketegasan ditunjukkan MFL adalah bukti bahawa era lapuk tunggakan gaji akan diperangi sehabis-habisnya. Ini bukan niat untuk berlaku zalim, tetapi ini adalah sebuah langkah ke hadapan untuk memastikan nilai profesionalisme terus dijunjung.

"PFAM berharap agar masalah tunggakan ini dapat diselesaikan dengan pasukan terbabit agar mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan masalah ini dalam kadar segera," katanya.

Sebelum ini, Tunku Ismail bertegas tiada lagi maaf akan diberikan kepada pasukan Liga M yang masih gagal melunaskan tunggakan gaji pemain masing-masing kerana 'ihsan' diberikan MFL akhirnya disalahgunakan sehingga menyebabkan masalah sama berulang.

Kemudiannya, MFL juga tidak menolak kemungkinan menyekat geran musim ini kepada pasukan terbabit dan melihat tindakan itu perlu dilakukan bagi menghentikan 'budaya' pasukan yang sekadar mengharapkan geran tahunan untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Izham berkata tiada jalan pintas boleh diambil pasukan jika diselubungi tunggakan dan tindakan tegas perlu diambil jika ada pihak mengambil mudah usaha melangsaikan gaji pemain.

"PFAM menyambut baik usaha MFL dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk membantu menyelesaikan isu gaji ini melalui mekanisme pemotongan geran dan saya ingin menekankan bahawa tiada jalan pintas boleh diambil pasukan sekiranya mengalami masalah tunggakan gaji di masa hadapan. 

"Ingatlah, pemain adalah manusia yang turut bekerja demi sesuap nasi dan apa yang kita lihat di atas padang itu mungkin sekadar sebuah permainan, tetapi itulah perjuangan hidup seorang pemain bola sepak profesional.

"Hukuman tegas seperti potongan mata, embargo perpindahan, larangan mengambil pemain baharu, dan penggantungan penyertaan perlu dikuatkuasakan. Tiada kompromi terhadap pasukan yang terus sambil lewa dalam isu tunggakan gaji," katanya.

Berita Harian X