Sabtu, 16 Februari 2019 | 11:18pm
PENYERANG Kedah, Mohamad Zaquan Adha Abd Razak (tengah) rai gol bersama Baddrol Bakhtiar (kanan) dan Anmar Fares Abdul Jabar Almubaraki pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman malam ini. - Foto BERNAMA

Kedah garang di Darul Aman

 

ALOR SETAR: Hasrat Kedah meneruskan rentak konsisten pada perlawanan musim ini sudah menampakkan hasil apabila menundukkan FELDA United 4-0 pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman malam ini.

Bermula garang di depan lebih 15,000 penyokong, skuad Lang Merah kendalian Aidil Sharin Sahak memulakan tekanan menerusi percubaan Baddrol Bakhtiar seawal minit pertama diiukuti percubaan Fernando Rodriquez seminit kemudian namun gagal mendapatkan gol awal.

Kedah akhirnya menemui sentuhan gol pertama pada minut ke-16 hasil percubaan Zaquan Adha Abd Radzak yang menewaskan Norazlan Razali.


PEMAIN import Kedah, Fernando Rodriguez Ortega (kanan) mengawal bola cuba dihalang pemain FELDA United, Ahmad Haziiq Ahmad Puad pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi. - NSTP/Amran Hamid

Tersentak dengan jaringan pertama, pelawat bangkit meningkatkan serangan menerusi percubaan Kei Ikeda pada minit ke-18 sebelum berjaya ditangkap kemas Ifwat Akmal.

Sebelum babak pertama berakhir, Kedah menambah jaringan menerusi Anmar Al Mubaraki pada minit ke-41 dengan cubaannya melepasi jangkauan penjaga gol.

Seminit selepas babak kedua bermula, Kedah terus melakukan serangan ke gawang dan hampir menambah gol ketiga hasil cubaan Jonathan Bauman tetapi sekadar singgah di tiang gol lawan.

Pemain pertahanan, Shakir Hamzah menambah derita FELDA United hasil gol ketiga pada minit ke-53 dengan tandukan kencang hasil hantaran sepakan sudut Baddrol.

Pelawat terus buntu mencari bekalan gol apabila percubaan Kei Ikeda pada minit ke-65 hanya singgah di gawang.

Pemain muda, Fadzrul Danel terus memastikan Kedah selesa dengan gol keempat pada minit ke-73 dan kedudukan itu kekal hingga penamat.

Berita Harian X