Isnin, 18 Februari 2019 | 10:46am
Penyerang Doncaster Rovers, John Marquis (kiri) diasak pemain pertahanan Crystal Palace, Scott Dann dalam aksi Piala FA di Stadium Keepmoat, Doncaster. - Foto AFP
Penyerang Doncaster Rovers, John Marquis (kiri) diasak pemain pertahanan Crystal Palace, Scott Dann dalam aksi Piala FA di Stadium Keepmoat, Doncaster. - Foto AFP

Crystal Palace, Wolves ke suku akhir Piala FA

LONDON: Crystal Palace dan Wolverhampton Wanderers melangkah ke suku akhir Piala FA selepas masing-masing menewaskan pencabar dalam pusingan kelima pagi tadi.

Palace menang 2-0 ke atas Doncaster Rovers manakala Wolves menewaskan Bristol City 1-0. Dalam satu lagi saingan, menyaksikan Swansea mengatasi Brentford 4-1.

Mereka kini mengiringi Manchester City, Brighton dan Watford ke suku akhir dengan juara bertahan, Chelsea akan menentang Manchester United lewat pagi ini.

Gol pada babak pertama Jeffrey Schlupp dan Max Meyer sudah cukup membuktikan keupayaan Palace ketika bertembung di Yorkshire.

Rembatan Schlupp memecah kebuntuan disusuli tandukan kemas Meyer bagi memastikan pasukan kendalian Roy Hodgson itu melangkah.

Rovers mendapat banyak peluang di depan pintu gol lawan, namun perbezaan kualiti pemain menjadi pemisah ketara setiap kali berdepan penyudahan.

"Kami tahu jika dapat melepasi peringkat ini, kami ada peluang yang cerah untuk menuju ke Wembley,” kata Schlupp kepada BBC.

"Ini adalah kejohanan yang sangat istimewa dan saya berharap tuah undian pula selepas ini dengan bertemu pasukan yang tidak berapa kuat untuk peluang kami lebih cerah.”

Terdahulu, jaringan tunggal Ivan Cavaleiro cukup buat Wolves yang juga bekas juara empat kali Piala FA menamatkan penantian 16 untuk beraksi di suku akhir.

Bristol City memiliki peluang namun cubaan pemain tengah, Cavaleiro pada minit ke-28 menamatkan kehebatan mereka yang tidak tewas dalam 15 perlawanan sebelumnya.

"Saya sangat gembira dengan jaringan itu dan apa yang penting ia membawa kami ke peringkat seterusnya,” kata Cavaleiro kepada BT Sport.

Pengurus Wolves, Nuno Espirito Santo berkata: "Sangat sukar menembusi mereka apabila semua pemain berkubu di dalam kotak penalti dan kamu hanya boleh menaruh harapan menjaringkan gol.”

Ditanya mengenai undian, jurulatih Portugal itu berkata: "Kamu perlu bersedia satu perlawanan ke satu perlawanan yang lain. Saya gemar beraksi di gelanggang sendiri. – AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X