Rabu, 20 Februari 2019 | 9:39am
Saudara-mara dan sahabat mengusung keranda pemain bola sepak Argentina, Emiliano Sala semasa pengebumiannya di ibu pejabat Club San Martin di Progreso, di Argentina. - Foto EPA

Pencarian juruterbang pesawat Sala diteruskan  

LONDON: Pencarian juruterbang pesawat dinaiki pemain bola sepak, Emiliano Sala yang terhempas di Selat Inggeris bulan lalu bakal diteruskan minggu depan, kata keluarganya, hari ini.

Keluarga David Ibbotson berkata, menerusi laman web bagi mengumpul derma daripada orang ramai untuk meneruskan misi pencarian itu bahawa penyelam akan menjalankan pencarian mayatnya dengan “harapan akan dimulakan minggu depan”.

Laman web kutipan derma itu yang sudah mengumpul hampir £250,000 pound (RM1.332 juta) berkata, mereka juga akan menggunakan “pencarian helikopter di kawasan pesisiran pantai”.

Pesawat kecil yang membawa penyerang Cardiff City daripada kelab sebelumnya, Nantes di Perancis untuk ke Britain, hilang daripada radar pada 21 Januari lalu.

Mayat Sala ditemui pada 7 Februari dalam pesawat di dasar laut dan pengebumiannya dilakukan Sabtu lalu di tempat asalnya di Progreso, Argentina.

Pesawat itu dikesan oleh syarikat Blue Water Recoveries, yang diupah oleh keluarga Sala hasil daripada derma daripada orang ramai selepas misi pencarian pesawat dihentikan kerajaan.

Pengarah Blue Water Recoveries berkata, mereka membantu keluarga Ibbotson dalam pencarian itu.

“Pencarian ini secara teknikalnya adalah sangat berbeza daripada pencarian di dasar laut pesawat Piper Malibu. Ia bergantung kepada cuaca yang baik, pasang surut ombak dan permit penerbangan,” katanya. – AFP

Berita Harian X