Rabu, 20 Februari 2019 | 10:40am
PRESIDEN KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan (kiri) dan Mohd Badhri Radzi. - Foto NSTP

KAFA hormati kontrak Piya dengan PFA

KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) enggan terburu-buru dalam membuat keputusan mendapatkan kembali khidmat bekas pemain tengah, Mohd Badhri Radzi.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, beliau menasihati mana-mana pihak yang berminat mendapatkan khidmat pemain itu yang lebih dikenali sebagai Piya untuk berurusan dengan majikannya, Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

"Kita kena hormati kontrak Piya dengan majikannya dan kita jangan mengambil kesempatan ke atas persatuan bola sepak negeri yang sedang mengalami masalah dalaman.

"KAFA juga harus meneliti terma dan syarat kontrak pemain sama ada Piya boleh dilepaskan dengan persetujuan bersama dengan majikannya (PFA)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut mengenai hasrat anak syarikat KAFA, Kelantan Red Warriors Sdn Bhd (KRW) ingin mendapatkan kembali khidmat Piya, Bibi Ramjani mengakui ada menghubungi Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie bagi berbincang mengenainya.

“Beliau (Ahmad Amizal) mengesahkan kontrak Piya tidak dinyatakan secara rasmi jika tidak mendapat bayaran gaji dua bulan beliau boleh bermain dengan pasukan lain sesuka hati.

"Malah KRW perlu mempertimbangkan beberapa perkara sebelum menyatakan hasrat mendapatkan khidmat Piya agar pisang tidak berbuah dua kali.

"Piya juga pernah menyatakan beliau tawar hati untuk bermain dengan pasukan Kelantan apabila KAFA sebelum ini pernah memanggil beliau (Piya) untuk berbincang berhubung masa depannya bersama pasukan ini," katanya.

Berita Harian X