Rabu, 20 Februari 2019 | 11:09pm
Raul Tarragona. - Foto Syamsi Suhaimi

KAFA tak jadi singkir Tarragona

KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) membuat pusingan U apabila terus mengekalkan khidmat import dari Uruguay, Raul Tarragona sebagai penyerang utama The Red Warriors (TRW) bagi mengharungi baki perlawanan Liga Perdana selepas ini.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan KAFA menarik balik keputusan menyingkirkan Tarragona selepas mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd, Fazli Mohammad semalam.

"Ya, Tarragona akan kekal bersama pasukan ini dengan mengemukakan surat peringatan pertama supaya dia (Tarragona) berusaha meningkatkan prestasi setelah mengharungi tiga perlawanan liga," katanya.

"KAFA harus meneliti implikasi negatif bakal diterima persatuan negeri ini jika bertindak  menyingkirkan Tarragona memandangkan tarikh pendaftaran pemain berakhir hari ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut mengenai hasrat anak syarikat KAFA, Kelantan Red Warriors Sdn Bhd (KRW) ingin menyingkirkan Tarragona, Bibi Ramjani mengakui memang terkandung dalam terma syarat kontrak pemain yang tidak menunjukkan prestasi memuaskan bakal disingkirkan.

“Dia (Tarragona) sudah menerima surat amaran pertama yang juga peraturan termaktub dalam surat tawaran rasmi kontrak semua pemain.

"KAFA tidak teragak-agak menyingkirkan mana-mana pemain import yang gagal menyerlah pada jendela pendaftaran kedua pemain Jun nanti, jadi semua pemain import  akan dipantau dari segi tahap sumbangan dan prestasi semasa untuk memastikan khidmat mereka berbaloi dengan gaji yang diterima ketika ini, " katanya.

Berita Harian X