Khamis, 21 Februari 2019 | 10:31am
DI Maria meraikan jaringan gol pada aksi Ligue 1. - Foto EPA

Di Maria, Mbappe bantu kemenangan besar PSG

PARIS: Angel Di Maria menyempurnakan sepakan percuma manakala Kylian Mbappe juga menemui sasaran ketika membantu Paris Saint-Germain terus berada di landasan tepat untuk merebut gelaran juara Ligue 1 dengan membenam Montpellier 5-1, awal pagi tadi. 

Meskipun tanpa kelibat Neymar dan Edinson Cavani yang masih direhatkan, Layvin Kurzawa juga meledak jaringan untuk PSG di Parc des Princes. 

Dengan melihat perlawanan ini sebagai pemanas badan menjelang aksi kedua 16 terbaik Liga Juara-Juara menentang Manchester United pada 6 Mac nanti, PSG kini mendahului liga dengan kelebihan 15 mata daripada penghuni tangga kedua Lille. 

Kelab itu juga masih mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan tatkala mereka sedang memburu gelaran keenam liga dalam tujuh musim. 

"Ia berasaskan kesabaran, kualiti dan juga sedikit nasib," kata jurulatih PSG, Thomas Tuchel selepas pasukan kendaliannya mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri untuk aksi liga musim ini.


KYLIAN Mbappe. - Foto EPA

Kemenangan itu juga adalah yang kesembilan dengan jumlah jaringan sekurang-kurangnya empat gol dalam kempen kali ini. 

"Ini bukan prestasi terbaik kami tetapi kualiti serangan kami layak untuk kemenangan ini," kata Tuchel. 

Tuchel kehilangan beberapa pemain untuk perlawanan ini termasuk kapten, Thiago Silva yang dikenakan hukuman penggantungan. 

Pemain bek kiri Perancis, Kurzawa membuat penampilan pertamanya dalam liga selepas mengalami kecederaan dan membuka tirai jaringan pada minit ke-13. 

Montpellier kekal berada di tangga keenam, manakala PSG dijadual melayan kunjungan Nimes pada Sabtu ini sebelum aksi suku akhir Piala Perancis menentang Dijon dan berkunjung ke Caen - satu jadual padat menjelang kunjungan ke United. - AFP

Berita Harian X