Jumaat, 22 Februari 2019 | 12:47am
PENGURUS Cardiff City, Neil Warnock. - Foto Reuters

Cardiff nafi elak bayar yuran perpindahan Sala

LONDON: Pengurus Cardiff City, Neil Warnock berkata kelab itu yakin mampu menyelesaikan pertikaian yuran perpindahan pemainnya, Emiliano Sala dengan cara yang betul sekali gus menafikan pihaknya sengaja mengelak membayar wang berkenaan.

Sala yang ditandatangani oleh Cardiff daripada kelab Nantes, Perancis membabitkan yuran 15 juta pounds (RM79 juta) tetapi pemain kelahiran Argentina itu tidak sempat memulakan sebarang aksi buat pasukan itu selepas maut dalam nahas pesawat kecil yang disahkan terhempas ke dalam laut pada 21 Januari lalu.

Mayat pemain itu kemudian ditemui pasukan penyelamat swasta pada 7 Februari di dalam bangkai pesawat di dasar laut dan selamat disemadikan di kampung halamanya di Progreso, Argentina.

Namun mayat pilot pesawat berkenaan, David Ibbotson sehingga kini belum ditemui.

Pertikaian bayaran yuran berkenaan timbul selepas Cardiff enggan membayar ansuran pertama yuran berkenaan yang dikatakan berjumlah 5 juta pounds (RM25 juta) kerana menunggu laporan rasmi nahas pesawat berkenaan.

Menurut laporan BBC Wales Sport semalam, Cardiff dan Nantes mencapai persetujuan bersama untuk menunggu seminggu lagi sebelum Cardiff melakukan bayaran berkenaan.

"Saya amat kenal Mehmet Dalman dan saya yakin kelab ini akan menangani isu ini dengan cara yang betul dalam beberapa hari akan datang kerana mereka meminta penangguhan dan saya fikir Nantes juga setuju dengan hal itu,” kata Warnock kepada wartawan, hari ini,

Bagaimanapun akhbar Daily Telegraph melaporkan bahawa Sala terbabit dalam kontrak tidak sah bersama Cardiff.

"Telegraph difahamkan kontrak Sala tidak sah kerana tidak mematuhi peraturan Liga Perdana dan dipulangkan kepadanya untuk dia turunkan tanda tangani pada kontrak yang dipinda,” lapor akhbar berkenaan.

"Cardiff bercadang menggunakan status pendaftaran Liga Perdana Sala sebagai dalih bahawa mendian itu bukan pemain mereka apabilla dia meninggal dunia sebulan lalu,” tambah laporan itu.

Warnock bagaimanapun enggan mengulas laporan terbaru berkenaan. – AFP

Berita Harian X