Jumaat, 22 Februari 2019 | 11:16pm
PEMAIN Petaling Jaya City FC, Veenod Subramaniam (kanan) mengasak pemain Kedah, Syahrul Azwari Ibrahim (kiri) ketika Petaling Jaya City FC menentang Kedah menerusi Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Petaling Jaya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Kedah boleh senyum di persada liga

PETALING JAYA: Kedah terus mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Super selepas menundukkan Petaling Jaya (PJ) City FC 2-0 di Stadium Bandaraya Petaling Jaya, sebentat tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Helang Merah kekal tanpa kalah untuk mengumpul 10 mata.

Pencabar terdekat Kedah, Pahang hanya akan turun Ahad ini menentang Selangor manakala Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal menentang Melaka United, malam esok.

Terdahulu, aksi bermula dengan seimbang namun Kedah lebih bernasib baik ketika Syahrul Azwari Ibrahim membuka jaringan seawal minit ke-7 selepas menanduk masuk hantaran dilakukan Baddrol Bakhtiar dari luar kotak penalti.

Gol awal itu bagaimana pun tidak pernah melemahkan semangat tuan rumah yang dilihat agresif mengatur serangan memburu jaringan penyamaan.

Minit ke-40, keghairahan PJ City FC mengatur serangan mengundang padah apabila Kedah berjaya merampas bola untuk mengatur serangan balas sebelum Fernando Rodriguez tenang melakukan sentuhan penyudah untuk menamatkan babak pertama Kedah di depan 2-0.

Sekali pun sudah mendahului dua gol, pelawat seakan belum puas dengan memasukkan 'tenaga baharu', N Thanabalan ketika tuan rumah rumah menerapkan lima pemain di posisi pertahanan setiap kali Kedah menyerang.

Hasilnya, minit ke-85, Kedah hampir menambah jaringan sebaliknya sepakan Baddrol yang mengumpan bola ke bahagian kiri gawang berjaya dihidu penjaga gol tuan rumah, Mohd Muhaimin Mohamad.

Sekali pun ada gerakan menarik diatur, kekebalan Renan Da Silva Alves yang mengetuai benteng Kedah berjaya menafikan hasrat PJ City FC meraih jaringan.

Berita Harian X