Sabtu, 23 Februari 2019 | 7:27pm
- Ihsan Twitter MSDeafofficial

Malaysia tempat kelima futsal orang pekak Asia Pasifik

KUALA LUMPUR: Malaysia menamatkan saingan di tempat kelima Kejohanan Futsal Orang Pekak Asia Pasifik selepas menewaskan China 13-8 pada penentuan kelima/keenam kejohanan berkenaan di Bangkok, semalam.

Pada aksi berkenaan, kapten skuad negara, Mak Chee Weng meledak lima gol pada minit ke-16, 19’, 20’, 22’, dan 32' selain Muhammed Firdaus Sabudin yang melakar empat jaringan pada minit kelima, 14’,18’ dan 40’.

Haris Kamarudin pula menyumbang jaringan hatrik pada minit ke-29, 33’,36’ manakala Helmi Mat Sahad pada minit ke-20.

Pengurus skuad futsal orang pekak negara, Mohd Yusri Abd Ghani menyifatkan kemenangan ke atas pasukan China ini mengubat kedukaan skuad negara yang gagal mara ke peringkat separuh akhir kejohanan berkenaan.

“Kebanyakan pemain mengalami kecederaan termasuk Mak Chee Weng. Beliau mengalami sedikit luka di bahagian lutut semasa menentang Thailand sebelum ini, tetapi saya kira, itu semua tidak menjadi halangan kerana saya lihat kesungguhan mereka yang mendorong pasukan ini berjaya," kata

Mohd Yusri yang dipetik sebagai berkata dalam kenyataan dikeluarkan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf).

Dalam pada itu, Mohd Yusri berharap pihak swasta dapat membantu menyalurkan dana kepada pasukan berkenaan memandangkan skuad futsal orang pekak negara berdepan kekangan kewangan apabila menyertai kejohanan di luar negara.

Untuk rekod, Malaysia kalah 3-5 pada aksi pembukaan kumpulan A menentang Kazakhstan, sebelum bangkit meraih dua kemenangan dengan menewaskan Indonesia 6-1 pada perlawanan kedua dan membelasah Mongolia 24-4 pada aksi ketiga.

Mereka, bagaimanapun, tewas 3-5 kepada Thailand pada aksi terakhir kumpulan A pada Khamis, sekali gus memusnahkan harapan mereka untuk layak ke separuh akhir kejohanan berkenaan yang bermula sejak 15 Feb lepas.

Kumpulan B pula membabitkan persaingan juara 2015, Iran, Singapura, Jepun dan China. - BERNAMA

Berita Harian X