Ahad, 24 Februari 2019 | 12:01pm
Kylian Mbappe. - Foto Reuters

Kerja keras Mbappe berbaloi

PARIS: Kylian Mbappe muncul pemain termuda menyumbat 50 gol dalam kempen Ligue 1 selepas meledak dua kali ketika Paris Saint-Germain (PSG) meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Nimes, semalam.

Kemenangan menyaksikan juara Perancis itu mengukuhkan kedudukan di puncak Ligue 1 dengan kelebihan 17 mata di depan pencabar terdekat, Lille yang sebelum ini terikat 1-1 menentang Strasbourg, Jumaat lalu.

Selepas membuka tirai jaringan menerusi Christopher Nkunku pada minit ke-40, Mbappe meledak gol pertamanya dalam perlawanan itu pada minit ke-69 diikuti gol kedua peribadi seminit sebelum aksi berakhir.

Menurut data yang dikumpulkan oleh Opta, Mbappe meleburkan rekod yang sebelum ini dipegang Yannick Stopyra pada 1982 ketika berumur 21 tahun 11 bulan dan sembilan hari.

“Saya bekerja keras setiap untuk membantu pasukan sebanyak yang mungkin,” kata Mbappe. “Bola sepak masih menggembirakan saya, dan menjaringkan gol, memecahkan rekod adalah sesuatu yang mendorong saya jadi saya amat gembira.”

Pada aksi di Parc de Princes itu, PSG boleh menang dengan jumlah jaringan lebih besar menentang kelab di pertengahan liga, Nimes tetapi kecekapan penjaga gol pelawat, Paul Bernadoni selain penyudah kurang berbisa merencatkan peluang berkenaan.

Tanpa kelibat dua tonggak serangan, Edinson Cavani dan Neymar, Mbappe sepatutnya sudah meletakkan PSG di depan pada minit ke-32 tetapi ia dihalang dengan aksi menyelamat hebat Bernadoni berpunca hantaran Marco Verratti.

Pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu turut berfikir dia sudah menjaringkan gol sebelum rehat tetapi ia dibatalkan dan berdepan hukuman selepas Video Bantuan Pengadil mendapatinya bukan menanduk bola berkenaan sebaliknya menumbuk.

Selepas sekali lagi usahanya dihalang Bernadoni pada awal babak kedua, pemain berusia 20 tahun akhirnya memecah kebuntuan dengan menggandakan kelebihan PSG berpunca daripada hantaran Juan Bernat sebelum meledak gol ke-22 dalam kancah Ligue 1 musim ini pada minit ke-89. - AFP

Berita Harian X