Rabu, 27 Februari 2019 | 8:33am
Leicester City melantik Brendan Rodgers (tengah) sebagai pengurus baharu dengan perjanjian selama tiga tahun. - Foto Reuters

Rodgers disambar Leicester, Lennon pulang ke Celtic

LONDON: Leicester City melantik Brendan Rodgers sebagai pengurus baharu dengan perjanjian selama tiga tahun sementara Neil Lennon kembali ke Celtic sehingga berakhirnya musim ini bagi menggantikan kekosongan yang ditinggal pengendali itu.

Bekas pengurus Liverpool, Rodgers menjulang tujuh trofi domestik selepas hampir tiga musim mengambil alih gergasi Glasgow itu dan meninggalkan skuad dengan julukan Hoops lapan mata di kedudukan teratas Liga Perdana Scotland.

“Brendan, 46, sudah menandatangani perjanjian bersama Foxes sehingga Jun 2022 dan akan berada di Stadium King Power bagi perlawanan lewat malam Liga Perdana menentang Brighton dan Hove Albion,” kata Leicester dalam satu kenyataan.

“Beliau akan mengambil alih skuad buat kali pertama dalam perlawanan ke Watford, Ahad ini.”

Leicester memecat Claude Puel pada Ahad lalu selepas kekalahan 4-1 kepada Crystal Palace yang menyebabkan juara Liga Perdana 2015/16 itu menduduki kedudukan ke-12.

Begitupun, mereka meraih kemenangan 2-1 ke atas Brighton, awal pagi tadi dengan gol dijaringkan Demarai Gray dan penyerang Jamie Vardy.

“Di Leicester City, asasnya sudah ada bagi kami berkembang dan merangkul lebih banyak perkara,” kata Rodgers. “Harapnya dengan pengalaman saya ada dan bakat pemain yang ada dalam skuad akan membantu mencipta kejayaan bersama.

“Saya sangat beruntung dan mendapat penghormatan ini untuk berada di sini sebagai pengurus Leicester City dan saya akan memberikan segala-galanya untuk memastikan penyokong berbangga dengan kelab mereka ini.”

Pemergian Rodgers dengan hanya berbaki tiga bulan dalam musim ini adalah tamparan besar buat Celtic yang membuat keputusan melantik legenda kelab itu, Lennon.


Neil Lennon kembali ke Celtic sehingga berakhirnya musim ini. - Foto fail Reuters

“Saya pernah memberikan segala-galanya buat Celtic sebagai pemain dan pengurus dalam karier saya dan saya sudah bersedia untuk melakukannya semula,” kata Lennon. - AFP

1113 dibaca
Berita Harian X