Khamis, 28 Februari 2019 | 6:46pm
PEMAIN Terengganu FC, Tchetche Hermann Btice Kipre (kiri) mengawal bola pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Tchetche diberi amaran

 

KUALA TERENGGANU: Kecewa dengan prestasi ayam tambatannya, Kipre Tchetche yang masih belum menghasilkan sebarang jaringan setakat ini memaksa ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim memberi amaran keras kepada pemain itu.

Bagaimanapun Irfan menegaskan beliau tidak mempunyai niat untuk menghukum atau menyingkirkan pemain paling mahal skuad Penyu itu dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Sebaliknya beliau menuntut pemain kelahiran Ivory Coast itu bangkit menemui sentuhan berbisanya bertemu finalis Piala Malaysia musim lalu, Perak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah esok.

“Melihat prestasinya yang merudum berbanding musim lalu, saya tiada pilihan melainkan terpaksa memanggil pemain itu untuk diberikan kata dua supaya bangkit selepas permulaan hambar sejak empat perlawanan terdahulu.

“Saya memanggilnya kerana nak tahu punca sebenar permainannya merosot tanpa sebarang gol setakat ini, hasil pertemuan itu Tchetche mengakui prestasinya tidak seperti sebelum ini dan dia akan berusaha untuk kembali bangkit menggegar jaring bertemu Perak pada malam esok,” kata Irfan.

Mengulas persiapan menjelang pertemuan dengan skuad The Bos Gaurus itu, Irfan mengakui beliau lega selepas semua tonggak utamanya bebas daripada sebarang kecederan dan penggantungan perlawanan, namun pada masa sama berharap pengadil mampu menjalankan tugas dengan berkesan.

“Saya tuntut pemain kami menggunakan kesempatan dan peluang bermain di rumah sendiri untuk mencatat kemenangan selepas sekadar seri dalam dua perlawanan terdahulu dengan PKNS FC 1-1 dan JDT (Johor Darul Tazim) 2-2.

“Satu lagi saya juga nak ingatkan pemain jangan beraksi mengikut emosi serta lupakan sengketa dengan Perak musim lalu kerana ia sudah menjadi sejarah selain mengelak insiden lama berulang yang pasti akan merugikan pasukan,” kata Irfan.

 

 

Berita Harian X