Ahad, 3 March 2019 | 12:07am
PEMAIN Kedah, Muhamad Shakir Hamzah (kanan) bersama rakan sepasukan, Renan Da Silva Alves cuba menghalang tandukan pemain PKNS FC, Tarmilan Kozubaev pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid

Kedah, PKNS sama liat

ALOR SETAR: Kedah mensia-siakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila diikat PKNS FC 0-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Beraksi di hadapan kira-kira 17,000 penyokong, tuan rumah seharusnya memperoleh tonik tambahan tetapi sebaliknya berlaku apabila dilihat bergelut mencari gol sekalipun memperoleh deretan peluang.

PKNS begitupun terlebih dulu berpeluang memecah kebuntuan untuk mencipta jaringan melalui percubaan Gabriel Guerra pada minit ketujuh namun percubaannya berjaya ditampan oleh pertahanan Kedah Renan Alves. 

Kedah membalas serangan berkenaan melalui penyerang kelahiran Argentina Jonathan Bauman tetapi cubaannya gagal menerjah jaring dengan cubaan seorang lagi pemain import Fernando Rodriguez juga tidak kesampaian.

Pada minit ke-35, Kedah memperoleh sepakan percuma tetapi cubaan kapten Baddrol Bakhtiar terus ke dakapan penjaga gol Zarif Irfan.

Terdesak memburu jaringan, Kedah menguasai permainan pada babak kedua tetapi peluang terbaik Rodriguez berpunca hantaran lintang Rizal Ghazali terkena tiang gawang lawan.

Ketika permainan berbaki empat minit, Kedah menerima tamparan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Alves dilayangkan kad merah susulan kekasaran terhadap pemain Faizat Ghazli.

Kelebihan itu begitupun gagal dimanfaatkan PKNS untuk memburu jaringan dengan tuan rumah berjaya mempertahankan gawang mereka daripada dibolosi.

Keputusan seri menyaksikan Kedah mengumpul 11 mata daripada lima perlawanan dan menghuni tangga ketiga liga di belakang Johor Darul Ta’zim dan Pahang.

436 dibaca
Berita Harian X