Ahad, 3 March 2019 | 8:47pm
REAKSI jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim ketika menentang Pahang di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, baru-baru ini. - NSTP/Abdullah Yusof

Abu Bakar kecewa prestasi pasukan, import

MANJUNG: Sekalipun hanya mengutip satu mata daripada lima perlawanan, PKNP FC masih belum mahu menekan butang panik tetapi akur kelonggaran di setiap posisi harus diperkemas segera jika tidak mahu terus dihukum pihak lawan. 

Malah, jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim, mengakui kesukaran yang dihadapi pasukannya musim ini adalah di bahagian pertahanan yang mudah dibolosi penyerang lawan seperti dibuktikan Pahang di Stadium Majlis Perbandaran Manjung malam tadi. 

"Kita tidak pernah mudah dibolosi sepanjang tiga tahun beraksi dalam Liga Perdana dan Liga Super tetapi untuk tahun kedua ini ia begitu mengecewakan, daripada segi pertahanan kita hilang fokus, mudah ‘Mat Yo’ (Norshahrul Idlan Talaha) dan Dickson Nwakaeme menghukum kita," katanya. 

Abu Bakar jelas tidak dapat menyembunyikan perasaan tidak puas hati dengan prestasi awang import terutama pemain kebangsaan Tajikistan, Siyovush Asrorov, yang disifatkannya sebagai ‘indah khabar dari rupa' berikutan tidak mempamerkan aksi memberangsangkan dalam lima perlawanan setakat ini. 

"Kita dapat lihat persembahan PKNP kali ini banyak kelonggaran berlaku, dengan PKNS pun kita kena gol awal tidak sampai dua minit begitu juga dengan Pahang, walaupun kita ada dua pemain import yang kita harap untuk bantu tetapi saya nampak mereka ‘hilang.’ 

"Walaupun dia (Asrorov) pemain kebangsaan Tajikistan, kita nampak di sini langsung 90 minit, tiada kawalan, tidak mencabar, gol mudah yang berlaku untuk awal minit kepada pasukan Pahang. 

"Kita tahu mereka (Pahang) ada ramai pemain berkualiti tetapi kalau kita terlampau hormat dan tidak menutup ruang, banyak kelonggaran berlaku dan ini kita dihukum," katanya. 

Abu Bakar berkata, barisan pertahanan juga tidak memberi perlindungan kepada penjaga gol muda pasukan itu, Shafiq Afifi Suhaimi, yang baru berusia 20 tahun dan pertama kali diturunkan dalam perlawanan utama menentang Pahang.

Selain itu, katanya kelonggaran juga dapat dilihat di bahagian tengah yang gagal memberi saingan kepada pasukan lawan manakala ketumpulan penyudah barisan hadapan menyukarkan PKNP mencipta gol meskipun memperoleh peluang terhidang.

Berita Harian X