Khamis, 7 March 2019 | 8:49am
OLE Gunnar Solskjaer. - Foto EPA

United ada keyakinan untuk menang - Solskjaer

PARIS: Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berkata pasukannya sentiasa ada keyakinan tinggi untuk bangkit menewaskan Paris St Germain seperti dibuktikan pada aksi kedua sekali gus melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

United tewas 0-2 di Old Trafford pada aksi pertama, namun mereka bangkit menewaskan juara liga Perancis itu 3-1 di Paris untuk mengikat agregat 3-3 namun United mara ke suku akhir menerusi peraturan gol di tempat lawan.

"Kami sentiasa yakin, itulah perkara yang paling penting. Kami merangka pelan dan ia bukanlah soal bola semata-mata.

"Pelan kami ialah mendapatkan gol awal, menguasai permainan pada baki 10 minit terakhir,” katanya.

Romelu Lukaku meletakkan United di depan seawal minit kedua dan menambah gol keduanya sebelum rehat manakala penalti Marcus Rashford pada masa kecederaan menjadi detik pemisah.

Kemenangan itu mengukuhkan peluang Solskjaer dilantik sebagai pengurus sepenuh masa dan menambah siri kemenangannya sejak mengendalikan United Disember lalu.

"Ia detik sangat menakjubkan dapat bersama pemain dan staf di sini. Saya amat gembira dengan pekerjaaan ini, saya sudah boleh tersenyum,” kata Solskjaer.

"Saya akan melakukan kerja saya sebaik mungkin,” tambahnya.

Pada aksi berkenaan, United turun tanpa beberapa tonggak utama sama ada cedera dan berdepan penggantungan termasuk pemain bintangnya, Paul Pogba.

"Kami berdepan masalah kecederaan dan penggantungan, tetapi ia mungkin sesuatu yang baik kerana kami ada senarai pemain yang cergas sepenuhnya,” kata Solskjaer.

Rashford juga terpaksa menempis rasa gemuruhnya untuk menyempurnakan penalti pertamanya di peringkat Eropah.

"Hanya perlu bertenang. Itulah yang anda berlatih setiap hari. Saya mahu mengambil sepakan itu...dan saya berjaya, kami terus mara,” kata Rashford.

"Ia mungkin perkara yang paling sukar, terpaksa menunggu, tetapi ia sebahagian daripada perlawanan, itulah saatnya,” katanya.

“Pada awalnya, semua perkara seolah menentang kami, tetapi pada detik ini, kami melepasinya dan hari ini, kami membuktikannya sekali lagi. Kami terus menekan dan melawan diri kami sendiri,” kata Rashford.

Begitupun Solskjaer, tidak terkejut dengan cara pemain muda berusia 21 tahun itu meredakan tekanan berkenaan.

"Ia memang menakjubkan, ketika kamu muda, memang tidak sepatutnya ada perasaan takut,” katanya. - Reuters 

Berita Harian X