Khamis, 14 March 2019 | 7:19am
Aksi penyerang Barcelona, Lionel Messi (kiri) pada perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto AFP
Penyerang Barcelona, Lionel Messi (kiri) merembat bola melepasi penjaga gawang Olympique Lyon, Anthony Lopes pada pusingan kedua Liga Juara-Juara, di Stadium Camp Nou, awal pagi tadi. - Foto AFP

Magis Messi julang Barca

BARCELONA: Lionel Messi menyumbat dua gol dan melakukan dua umpanan ketika membantu Barcelona menewaskan Lyon 5-1 sekali gus menempah tempat ke suku akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Selepas seteru Cristiano Ronaldo meledak hatrik menjulang Juventus menyingkirkan Atletico Madrid di Turin, semalam, Messi menampilkan magisnya tersendiri di Nou Camp dengan wakil Perancis, Lyon tampak seperti tiada jawapan.

Keputusan seri 0-0 di Perancis pada aksi pertama bulan lalu bermakna Lyon sentiasa berpeluang untuk membuatkan Barca goyah tetapi sepakan penalti Messi pada minit ke-17 dan penyudah ringkas daripada Philippe Coutinho meletakkan tuan rumah selesa mendahului tamat babak pertama.


Pemain Barcelona, Ousmane Dembele meraikan jaringan golnya ketika menentang Olympique Lyonnais, pada pusingan kedua Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Sekali pun voley Lucas Tousart pada babak kedua kembali menyalakan harapan Lyon, ia tidak menghalang Messi menyumbat gol kedua peribadi sebelum mencipta umpanan bagi gol yang disempurnakan Gerard Pique dan Ousmane Dembele.

Messi kini sudah mengumpul 108 gol dalam kempen Liga Juara-Juara manakala Ronaldo memiliki 124 gol.

Penyingkiran penyandang juara, Real Madrid dan Atletico menyaksikan Barcelona menjadi wakil tunggal dari Sepanyol yang mara ke peringkat lapan terbaik Liga Juara-Juara musim ini.

England pula mempunyai empat wakil iaitu Manchester United, Manchester City, Liverpool, Tottenham Hotspur diikuti satu masing-masing dari Itali iaitu Juventus, Porto (Portugal) dan Ajax (Belanda). 

Kali terakhir pasukan dari Sepanyol hanya mempunyai satu wakil di peringkat suku akhir ialah 2010 dan selepas penyingkiran Atletico, Barca perlu mengelak rekod di mana tiada wakil dari negara itu di peringkat sama pada edisi 2005. - AFP

Berita Harian X