Khamis, 14 March 2019 | 10:23am
Reaksi jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde ketika pasukan bimbingannya menentang Olympique Lyon pada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto EPA
Reaksi jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde ketika pasukan bimbingannya menentang Olympique Lyon pada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto EPA

Valverde, Genesio tabik Messi

BARCELONA: Kapten Barcelona Lionel Messi dihujani pujian bukan saja daripada jurulatihnya, Ernesto Valverde malah pengurus Lyon, Bruno Genesio susulan prestasi cemerlang ketika membantu kelab Catalan itu mara ke suku akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Messi membuka tirai jaringan pada aksi di Nou Camp menerusi penalti dan meledak gol ketiga Barca yang juga jaringan kedua peribadinya selepas Lyon merapatkan jurang pada babak kedua menerusi gerakan cukup menarik.

Selain menjaringkan dua gol, penyerang Argentina itu turut melakukan dua umpanan bagi jaringan yang disempurnakan Gerard Pique dan Ousmane Dembele untuk Barca meraih kemenangan besar 5-1.

Di awal musim, Messi berjanji ‘untuk melakukan segala-galanya bagi membawa pulang trofi menakjubkan itu kembali ke Nou Camp’ dan ia dibuktikan dengan kemenangan bergaya ke atas wakil Perancis itu.

“Kami semua sudah bersedia untuk Liga Juara-Juara sama seperti Leo,” kata Valverde. “Dia menampilkan persembahan yang cemerlang malam ini, dia menakjubkan.”

Genesio berkata: “Malam ini Messi disediakan untuk mengharungi Liga Juara-Juara. Dia seorang yang pintar dan boleh melakukan apa yang orang lain tidak boleh lakukan.

“Kadang kala dia tidak boleh dihentikan.”

Messi yang memegang rekod hatrik terbanyak, lapan dalam kempen Liga Juara-Juara menyaksikan rekodnya itu disamakan seteru, Cristiano Ronaldo, semalam ketika Juventus membenam Atletico Madrid 3-0. - Reuters

 

 

Berita Harian X