Khamis, 14 March 2019 | 11:55am
Penyerang Barcelona, Lionel Messi meraikan jaringan golnya ketika menentang Olympique Lyonnais pada saingan Liga Juara-Juara di Stadium Nou Camp, Barcelona, malam tadi. - Foto AFP
Penyerang Barcelona, Lionel Messi meraikan jaringan golnya ketika menentang Olympique Lyonnais pada saingan Liga Juara-Juara di Stadium Nou Camp, Barcelona, malam tadi. - Foto AFP

'Kagum kebangkitan Juve, Ronaldo'

LONDON: Bintang Barcelona, Lionel Messi mengakui penyingkiran Atletico Madrid oleh Juventus yang dikuatkan dengan kehadiran seteru lamanya, Cristiano Ronaldo dalam kempen Liga Juara-Juara semalam sebagai mengejutkan.

Penyerang Argentina itu turut mencipta kegemilangan tersendiri apabila meledak dua gol dan mencipta dua umpanan bagi membantu kelabnya menewaskan wakil Perancis, Lyon 5-1 untuk mara ke suku akhir saingan elit Eropah itu.

Kemenangan itu membolehkan Barcelona mendapat status ‘kebal’ di Nou Camp apabila mengharungi 30 perlawanan tanpa kalah dalam saingan Liga Juara-Juara.

Barcelona menyertai empat kelab Inggeris, Liverpool, Manchester City, Manchester United dan Tottenham selain kelab Belanda, Ajax, Porto (Portugal) ke peringkat lapan terbaik tetapi wakil Itali, Juventus mencuri perhatiannya.

Selepas tewas 2-0 di Sepanyol pada aksi pertama, bulan lalu Ronaldo yang juga bekas pemain Real Madrid menampilkan magisnya apabila meledak hatrik dengan membenam wakil Sepanyol itu 3-0 dan mara menerusi agregat 3-2.

“Cristiano dan Juventus mengagumkan,” kata Messi. “Ia satu kejutan yang besar kerana saya fikir Atletico pasti lebih kuat. Tetapi Juventus mengatasi mereka dan Cristiano memperoleh malam yang magis dengan tiga gol.”

Mengulas lawan di peringkat lapan terbaik yang ditentukan menerusi sesi undian yang akan dijalankan esok, pemain berusia 31 tahun itu tidak kisah pasukan mana yang akan ditentang.

“Semua lawan adalah sukar, kami tidak boleh memilih,” katanya. “Kami perlu menunggu sesi undian selesai dan melihat siapa lawan kami. City, Juventus, Ajax, semua mereka bagus.

“Jentera serangan Liverpool cukup perkasa dan mereka menunjukkannya di Munich. Kesemua mereka adalah lawan yang sukar.” - Agensi

Berita Harian X