Ahad, 17 March 2019 | 10:03am
PEMAIN Real Madrid, Isco (kanan) meraikan jaringan bersama Gareth Bale. - Foto EPA
PEMAIN Real Madrid, Isco (kanan) meraikan jaringan bersama Gareth Bale. - Foto EPA

Isco, Bale julang Real, Atletico kecewa

MADRID: Zinedine Zidane membalas kepercayaan Real Madrid dengan kemenangan 2-0 ke atas Celta Vigo tetapi pemburuan kejuaraan La Liga seakan sudah berakhir apabila Atletico Madrid tumbang kepada Athletic Bilbao. 

Isco dan Gareth Bale mencetak nama sebagai penjaring buat Real di San Memes dengan kekalahan Atletico menyaksikan pendahulu, Barcelona berpeluang untuk menjarakkan kedudukan kepada 10 mata di puncak liga jika menang ke atas Real Betis, awal pagi esok.

Dipimpin Zidane, Isco yang langsung tidak disenarai dalam kesebelasan utama di bawah Santiago Solari meletakkan Real di depan selepas sejam perlawanan berlangsung sebelum Bale menyumbat gol kedua pada minit ke-77.

Gol itu berpunca daripada gandingannya dengan Marcelo, yang turut digugurkan Solari dengan penjaga gol, Keylor Navas yang sebelum ini ‘dibekukan’ bagi memberi laluan kepada Thibaut Courtois melakukan aksi menyelamat hebat pada babak pertama. 

“Tiada sesiapapun boleh memadam apa yang pemain-pemain ini lakukan,” kata Zidane mengulas pemain yang beliau kembali senaraikan. “Saya akan bergantung harap kepada semua pemain.”

Untuk mengatasi jurang defisit dengan Barcelona mungkin nampak terlalu sukar buat Zidane berbaki 11 perlawanan tetapi tugasnya adalah untuk mengembalikan moral pemain selain membuat rombakan besar-besaran pada musim panas depan.

“Kata-kata saya kepada pasukan amat ringkas,” kata legenda Real itu. “Saya memberitahu mereka supaya bergembira, bermain, berlari bersama-sama dan bekerjasama apabila kami kehilangan bola. Apabila kami mendapatnya, ayuh bergembira dan itulah yang kami lakukan.”

Bale yang hubungannya dengan Zidane tampak buruk pada musim lalu pula boleh dianggap paling beruntung dengan prestasi yang ditampilkan memberinya peluang untuk berada dalam skuad baharu musim depan di mana presiden kelab Florentino Perez menggambarkannya sebagai ‘era baharu yang gemilang.’

Marcelo turut beraksi baik tetapi Courtois mungkin berfikir mengenai masa depannya selepas Zidane tampak lebih memihak kepada Navas.

“Masih ada 10 perlawanan lagi, hari ini Keylor bermain, pada hari lain ia mungkin Thibaut," kata Zidane. “Real Madrid memerlukan dua atau tiga penjaga gol yang hebat. Kita akan lihat apa yang berlaku tahun depan.”

Sementara itu, derita penyingkiran dalam kempen Liga Juara-Juara oleh Juventus masih menghantui Atletico yang tumbang menerusi dua gol lewat Bilbao.

Pertahanan, Jose Gimenez boleh dianggap duri dalam daging buat Atletico dengan kedua-dua gol jaringan Bilbao menerusi Inaki Williams (m73) dan Kenan Kodro (m85) berpunca daripada kesilapannya. - AFP

Berita Harian X