Selasa, 19 March 2019 | 11:36am
Calvert-Lewin gembira dengan cabaran sebagai peneraju jentera serangan Everton. - Foto Reuters
Calvert-Lewin gembira dengan cabaran sebagai peneraju jentera serangan Everton. - Foto Reuters

Calvert-Lewin sedia jadi peledak utama

LONDON: Dominic Calvert-Lewin gembira dengan cabaran sebagai peneraju jentera serangan Everton.

Penyerang 22 tahun itu adalah pilihan utama pengendali Marco Silva berbanding pemain Turki Cenk Tosun dan dia membalas kepercayaan itu dengan meledak lapan gol dalam tempoh singkat sejak kepulangannya musim ini.

Dalam tempoh beberapa minggu lalu, dia berjaya mengatasi pertahanan ampuh Liverpool Virgil Van Dijk dan David Luiz dari Chelsea.

Dengan kelab masih memerlukan penyerang utama bagi menggantikan Romelu Lukaku, Calvert-Lewin bersedia untuk mengisi posisi itu secara tetap.

“Saya bermain di posisi kegemaran saya untuk beberapa perlawanan terakhir ini,” kata Calvert-Lewin.

“Saya sudah membuktikan apa yang saya mampu lakukan di atas sana dengan persembahan saya, dan saya membantu pasukan untuk mencapai persembahan dan keputusan yang baik. Saya juga turut menjaringkan gol.

“Semua orang tahu anda perlu mengetuai serangan, dan ia datang bersama tanggungjawab yang besar.

“Saya mahu mengetuai jentera serangan Everton, dan saya gembira dapat melakukannya sekarang.”

Masalah utama Everton sepanjang musim ini ialah mendapatkan persembahan konsisten dan kemenangan ke atas Chelsea – yang pertama ke atas kelompok pasukan enam teratas dalam tempoh dua tahun – adalah kemenangan ketiga dalam sembilan perlawanan terakhir liga.

Kali terakhir skuad kendalian Silva, yang kini menduduki tangga ke-11 Liga Perdana Inggeris, memenangi dua perlawanan liga berturut-turut adalah pada Oktober tahun lalu. – AGENSI

Berita Harian X