Rabu, 27 March 2019 | 11:16am
PIYA idam penampilan semula pertamanya bersama skuad Red Warriors pada perlawanan Liga Perdana menentang Terengganu FC II (TFCII), Jumaat ini. - Foto Ihsan Kelantan Red Warriors
PIYA idam penampilan semula pertamanya bersama skuad Red Warriors pada perlawanan Liga Perdana menentang Terengganu FC II (TFCII), Jumaat ini. - Foto Ihsan Kelantan Red Warriors

Piya idam penampilan 'sulung' Red Warriors

KOTA BHARU: Pemain tengah Kelantan, Mohd Badhri Radzi mengidam penampilan semula pertamanya bersama skuad Red Warriors pada perlawanan Liga Perdana menentang Terengganu FC II (TFCII), Jumaat ini.

Keinginan itu disuarakan pemain yang turut dikenali sebagai Piya itu selepas berehat panjang daripada beraksi dalam saingan kompetitif susulan beberapa faktor.

Piya berkata, kini dia berusaha untuk menyakinkan hati Ketua Jurulatih Kelantan, Marko Kraljevic supaya memberi peluang untuk diturunkan pada perlawanan terdekat.

Katanya, dia sudah memulakan sesi latihan bersama pasukan Kelantan pada minggu ini dalam masa sama turut berusaha membentuk keserasian bersama rakan pasukan.

"Jika dapat diturunkan pada Jumaat ini, saya akan memastikan pasukan akan buat yang terbaik sebab kita mengetahui Kelantan mempunyai pemain muda yang bagus dan di kalangan mereka mempunyai pengalaman di peringkat kebangsaan.

"Dari segi latihan saya sudah kembali berlatih dan mempersiapkan diri untuk beraksi termasuklah membentuk keserasian dengan pemain yang lain.

"Saya yakin dengan kelebihan kita bermain di halaman sendiri, Insya-Allah kemenangan dapat berpihak kepada Kelantan dan saya juga harapkan adalah sokongan padu dari semua penyokong untuk turun memberi semangat kepada pemain," katanya.

Terdahulu, Piya membuat pusingan 'U' bersama pasukan Kelantan apabila kembali mengikat kontrak selama semusim, musim ini selepas pasukan asalnya, Perlis dibatalkan penyertaan daripada menyertai Liga Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Piya keyakinan yang tinggi diletakkan dalam pasukan Kelantan untuk kembali ke dalam saingan Liga Super pada musim hadapan.

"Sekiranya ia berjalan dengan baik dan semua pemain memberi fokus dan mendengar segala arahan yang diberi jurulatih, saya yakin Kelantan akan mampu kembali ke saingan Liga Super bagi tahun depan," katanya. 

Berita Harian X