Ahad, 31 March 2019 | 1:36am
Pemain Felda United Thiago Junio De Aquino berjaya menewaskan penjaga gol Pahang Mohd Helmi Eliza Elias untuk jaringan gol penyamaan pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Tun Abdul Razak (STAR) di Bandar Jengka malam ini. - Foto BERNAMA

Pahang rampas kedudukan JDT

KUALA LUMPUR: Pahang merampas kedudukan teratas Liga Super daripada juara lima kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas menewaskan FELDA United 3-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam ini.

Skuad dengan julukan Tok Gajah itu membuka jaringan menerusi rembatan leret Norshahrul Idlan Talaha yang mudah menewaskan penjaga gol tuan rumah Norazlan Razali pada minit ke-44.

Begitupun, tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-48 menerusi penyerang import dari Brazil, Thiago Junio de Aquino yang menyambar bala tampanan penjaga gol Pahang, Mohd Helmi Eliza Elias.

Skuad kendalian Dollah Salleh bagaimanapun kembali mendahului sebelum mengesahkan tiga mata menerusi jaringan sepakan penalti pemain import dari Brazil, Jose Eduardo Bischofe de Almeida pada minit ke-63 dan Mohd Faisal Abdul Halim pada minit ke-90.

Menerusi kemenangan itu, Pahang kini berada di persada teratas carta Liga Super selepas mengumpul 17 mata dan dibezakan dengan JDT yang mengutip jumlah mata sama menerusi jumlah jaringan.

JDT, semalam diikat seri 1-1 menentang Kedah di Darul Aman. - BERNAMA

2787 dibaca
Berita Harian X