Ahad, 31 March 2019 | 8:11pm
Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim. - Foto Effendy Rashid

PKNP FC harap rentak kemenangan berterusan

SERI MANJUNG: PKNP FC berharap kemenangan pertama yang dilakar daripada tujuh perlawanan Liga Super ketika menumpaskan Kuala Lumpur, semalam mampu diteruskan khususnya dalam saingan Piala FA.  

Jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, berharap momentum kemenangan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung itu berterusan ketika mereka bertandang ke Selangor bagi menentang Batu Dua FC, Rabu ini bagi saingan Piala FA serta Terengganu (Liga Super) di Kuala Terengganu pada Sabtu.

"Musim ini memang rasa tekanan kepada kami terutama apabila terpaksa bertemu pasukan yang berada dalam kedudukan lima terbaik di awal musim.

"Jadi, dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur di gelanggang sendiri, pemain menunjukkan semangat begitu mehukan kemenangan dan dapat menggunakan peluang sebaik mungkin.

"Tiga mata berharga itu akhirnya diperoleh tetapi dapat menjaringkan empat gol memeranjatkan saya dan yang penting gawang kita tidak dibolosi," katanya.  

Beliau berkata, kemenangan itu turut dibantu dengan kegagalan pasukan pelawat menggunakan peluang serta banyak melakukan kekasaran yang akhirnya merugikan pasukan itu apabila dua pemainnya diperintah keluar padang.  

Justeru, beliau berharap kemenangan itu dapat menjadi motivasi kepada prestasi pasukan yang tidak memiliki pemain 'nama besar' dalam kancah bola sepak tempatan, sebaliknya terus bekerja keras dan memberi peluang kepada pemain muda mencipta nama.

Sementara itu, pengendali Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt, berkata dua kad merah diterima anak didiknya dalam perlawanan menentang PKNP nyata membunuh terus semangat pasukan itu untuk bangkit semula.  

"Selepas dua gol pertama pasukan lawan dan satu kad merah diterima pada separuh masa pertama, kami masih berusaha untuk bangkit semula dengan melakukan penyusunan semula pemain apabila masuk separuh masa kedua," katanya.    

Bagaimanapun, katanya, apabila PKNP menjaringkan gol ketiga dan seorang lagi pemainnya diperintah keluar padang, semangat pemain sudah merudum sekali gus memberi peluang pasukan tuan rumah menambah jaringan.  

"Tumpuan kami sekarang ialah untuk memulihkan pasukan bagi menghadapi Bandar Tun Razak FC dalam saingan Piala FA Rabu ini," katanya.

 

 

Berita Harian X