Isnin, 1 April 2019 | 1:24am
Reaksi Pengurus Cardiff, Neil Warnock (kanan) kepada pegawai keempat perlawanan, Andre Marriner (kiri) semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris menentang Chelsea di Stadium Cardiff City di Cardiff. - Foto AFP

'Liga terbaik, pegawai paling teruk'

CARDIFF: Pengurus Cardiff, Neil Warnock mengakui amat marah susulan kekalahan kontroversi skuad kendaliannya kepada Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Malah, pengendali veteran itu turut memberi bayangan untuk membariskan pasukan yang lemah menentang penyandang juara, Manchester City bagi aksi liga berikutnya awal pagi Khamis ini.

Warnock berang apabila gol penyamaan yang dijaringkan kapten Cesar Azpilicueta disahkan oleh pengadil sekali pun kedudukan pemain pertahanan itu jelas ofsaid sebelum Chelsea meraih kemenangan 2-1.

Carfiff yang bergelut untuk keluar daripada zon penyingkiran mendahului sehingga permainan berbaki enam minit dan lebih mengecewkan, selepas jaringan Azpilicueta, pertahanan Chelsea Antonio Rudiger turut terlepas layangan kad merah sekali pun terjahannya terhadap Kenneth Zohore keras.

Cardiff turut merasakan mereka sepatutnya memperoleh dua penalti tetapi Chelsea yang berjaya meraih tiga mata apabila Ruben Loftus-Cheek meledak gol pada masa kecederaan.

“Ia menyakitkan. Pengadil memperoleh perlawanan yang baik tetapi kami tidak mendapat keputusan yang diharapkan. Penjaga garisan... Ia amat mengecewakan. Chelsea tahu mereka terlepas selepas melakukan pembunuhan,” kata Warnock.

“Apabila kamu tidak menang dan ia bukannya disebabkan oleh diri kamu, ia rasa seperti tendangan ke gigi. Menentang pasukan besar, kamu memerlukan VAR (Video Bantuan Pengadil) kerana kamu tidak berupaya melakukan keputusan penting.

“Gol penyamaan sebenarnya adalah gol kemenangan, dan jika kamu tidak dapat melihat garisan dan melihatnya ofsaid saya tidak dapat melihat mengapa kami mengharungi perlawanan ini. Liga terbesar dan liga terbaik di dunia tetapi mungkin pengadil perlawanan terburuk.”

Bos Chelsea, Maurizio Sarri turut mengakui pasukannya bernasib baik untuk membawa tiga mata berharga bagi meneruskan pemburuan kedudukan empat teratas liga.

“Mereka mungkin tidak gembira dengan keputusannya. Saya dapat memahaminya, saya boleh memahaminya dengan amat baik. Saya juga sudah biasa,” kata Sarri.

“Kami agak gemuruh. Kami tidak bermain dengan baik pada babak pertama dan melepaskan gol bodoh. Pada akhirnya, kami layak menang. Saya tidak tahu jika gol itu ofsaid, saya perlu melihat kembali situasinya. Kadang kala anda bertuah.” - AFP

 

 

Berita Harian X